Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiring Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki beramah mesra dengan pegawai SPRM ketika hadir pada Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-58 di Puspanitapuri, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 01 OKTOBER 2025. (Gambar fail).

MUKTAHIR inii berita mengenai siasatan, tangkapan, pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semakin rancak kedengaran.

Satu demi satu jabatan atau agensi kerajaan digempur, termasuklah yang selama ini dianggap ‘kebal’ atau ‘jarang disentuh’.

Ada yang membabitkan pasukan keselamatan, ada juga jabatan penguatkuasaan dan ada pula yang berkait pintu masuk negara. Mesejnya jelas – tiada lagi ‘kawasan’ selesa atau selamat untuk rasuah.

Hakikatnya, proses tangkap, siasat dan dakwa yang sebelum ini sering dipersoalkan keberaniannya, kini semakin kerap menjadi tajuk utama. Inilah realiti baharu sedang diuji di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.

Bukan sekadar pegawai bawahan, sebaliknya individu berprofil tinggi, tokoh berpengaruh dan mereka yang suatu ketika dahulu dianggap terlalu besar untuk disentuh, kini tidak lagi kebal daripada siasatan.

Namun seperti biasa, langkah tegas ini tidak terlepas sindiran. Ada menuduh ia tidak lebih sekadar ‘wayang politik’ selain mendakwa penguatkuasaan dilakukan berkait rasuah dan penyelewengan bersifat terpilih.

Tidak kurang menuduh SPRM menjadi alat untuk kerajaan memburu musuh politik.

Naratif sinis ini mudah dijual. Rakyat sudah terlalu lama disajikan dengan episod rasuah yang berulang-ulang, janji reformasi yang putus di tengah jalan dan kes berprofil tinggi yang akhirnya senyap tanpa kesudahan.

Maka skeptisisme itu wajar. Setiap tindakan tegas disambut soalan sama – ini perubahan sebenar atau sekadar lakonan sementara?

Soalan itu sah untuk ditanya, namun jawapannya tidak boleh dibina atas emosi dan prasangka semata-mata.

Realitinya, Kerajaan MADANI diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewarisi sebuah sistem yang sudah lama dibelenggu ketirisan, salah guna kuasa dan budaya ‘tidak apa’.

Budaya ini berakar dalam banyak lapisan. Daripada prosedur longgar, pengawasan lemah, hinggalah sikap membiarkan kesalahan demi menjaga ‘nama institusi’.

Membersihkan sistem seperti ini bukan kerja yang boleh selesai sehari dua.

Ia menuntut keberanian politik, konsistensi penguatkuasaan dan kesediaan menanggung risiko tidak popular, terutama apabila tindakan undang-undang menyentuh nama besar dan institusi strategik. Di sinilah perbezaan fasa ini mula kelihatan.

Di bawah Kerajaan MADANI, isyarat daripada kepimpinan jelas bahawa penguatkuasaan tidak lagi boleh bersifat selektif.

SPRM tidak sekadar diberi mikrofon untuk berucap, tetapi ruang cukup luas untuk bertindak. Siasatan ke atas agensi strategik seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turut membabitkan nama-nama besar dalam pasukan itu, selain Jabatan Imigresen yang dikaitkan dengan amalan counter setting yang sekian lama berakar umbi di pintu masuk negara sebagai contoh, membawa mesej keras tetapi perlu bahawa keselamatan negara dan kedaulatan sempadan bukan lesen untuk menutup mata terhadap rasuah.

Namun, ketegasan melawan rasuah tidak bermakna jika ia berhenti setakat tangkapan dan paparan bergari. Soalan lebih penting ialah sejauh mana wang rakyat yang diselewengkan dapat dipulangkan semula kepada negara.

Di sinilah ukuran sebenar keberkesanan penguatkuasaan.

Dalam konteks ini, skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kekal rujukan paling besar dan paling pahit. Ia bukan sekadar kisah penyelewengan dana tetapi simbol kegagalan tadbir urus yang hampir meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap negara.

Namun dalam bab pemulihan aset, Malaysia mencatatkan pencapaian yang tidak boleh dipandang remeh.

Setakat ini, RM29.8 bilion berjaya dipulihkan, kira-kira 70 peratus daripada hampir RM42 bilion yang dipercayai telah diselewengkan.

Ini bukan angka yang lahir daripada sidang media kosong. Ia hasil rundingan rentas negara, tindakan undang-undang yang rumit dan kerjasama antarabangsa yang memakan masa bertahun-tahun.

Dalam skala global, kadar pemulihan aset sebesar ini bukan perkara biasa. Banyak negara gagal mendapatkan kembali walau sebahagian kecil dana yang telah ‘lesap’.

Malaysia sebaliknya, berjaya membawa pulang sebahagian besar harta jenayah itu ke pangkuan negara, satu petunjuk bahawa sistem perundangan, institusi dan komitmen politik masih berfungsi apabila diberi ruang.

Sudah tentu, kejayaan ini tidak memadamkan dosa lampau. Wang yang dipulihkan tidak mampu menebus sepenuhnya kerosakan reputasi, peluang ekonomi yang hilang dan luka kepercayaan rakyat.

Namun menafikan pencapaian ini atas alasan politik semata-mata bukanlah sikap kritikal, tetapi ketidakjujuran intelektual.

Kerajaan MADANI secara jelas meletakkan rasuah sebagai musuh utama agenda pembaharuan. Ini diterjemahkan bukan sahaja melalui penguatkuasaan, tetapi juga pembaikan sistem.

Daripada ketelusan perolehan awam, pemantauan projek kerajaan, hinggalah pengukuhan peranan audit dan pengawasan Parlimen.

Cabaran sebenar bermula apabila ketegasan ini diuji pada tahap tertinggi. Menahan individu tidak popular mungkin mudah tetapi apabila siasatan menyentuh kepentingan politik, ekonomi dan institusi besar, tekanan akan datang dari semua arah.
Ada yang berlindung di sebalik alasan kestabilan.

Ada yang meniup sentimen bahawa penguatkuasaan akan melemahkan institusi.

Hakikatnya mudah – institusi tidak dilemahkan oleh siasatan rasuah. Institusi sebaliknya dilemahkan apabila rasuah dibiarkan berakar tanpa tindakan.

Rakyat hari ini tidak lagi teruja dengan drama tangkapan semata-mata. Mereka mahukan kesinambungan, pendakwaan telus, hukuman setimpal dan wang rakyat dipulangkan.

Di sinilah Kerajaan MADANI perlu kekal konsisten, bukan bermusim.

Ketegasan melawan rasuah bukan soal imej atau slogan. Ia ujian keikhlasan reformasi. Jika keberanian ini dapat dikekalkan, walaupun menyakitkan dan tidak popular, barulah wajar untuk mengatakan Malaysia sedang benar-benar keluar daripada bayang-bayang kleptokrasi.

Dalam perang ini, musuh sebenar bukan hanya individu yang disiasat, tetapi budaya lama yang selesa dengan ketirisan. Budaya seperti itu hanya boleh diubah dengan satu perkara – ketegasan yang tidak berkompromi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast