Ketua AMK Johor
Faezuddin Mohd Puad

JOHOR BAHRU – Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) di Kuala Lumpur kelmarin didakwa sebagai cubaan untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad hairan kerana demontrasi itu dijadikan alat untuk menjatuhkan Anwar sedangkan apa yang dilakukan perdana menteri bagi mengelakkan berlaku ketegangan kaum.

“Isu rumah ibadah haram sebenarnya dah lama, berpuluh tahun tak boleh nak selesaikan. Bukannya baru berlaku ketika Kerajaan Madani mula memerintah.

“Tapi ketika Anwar Ibrahim jadi perdana menteri sekarang ni lah ruang perbincangan terbuka dan tindakan tegas diambil bagi atasi masalah ini.

“Jadi nak jatuhkan Anwar Ibrahim sebab masalah yang dah berpuluh tahun berlaku ni pasal apa? Orang ni cuba selesaikan, orang ni juga nak dijatuhkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebab itu ramai yang pertikai dan mempersoalkan motif sebenar himpunan berkenaan.

“Demo bantah rumah ibadah haram tapi nak PMX dijatuhkan? Kan pelik. Kalau setakat demo, berpuluh malah beratus demo berlaku zaman Madani dapat dilaksanakan tanpa dikacau pihak berkuasa termasuklah demo ‘Turun Anwar’ yang mempunyai niat jelas nak jatuhkan PMX,” katanya.

Justeru katanya, tidak wajar untuk menuduh Anwar takut atau zalim tidak benarkan rakyat berdemonstrasi.

Sebagai seorang perdana menteri ujar Faezuddin, Anwar tidak mahu berlaku ketegangan antara kaum atau agama dan kerana itulah demontrasi anti rumah ibadah haram itu tidak dibenarkan.

“Hari ni PMX dengan tegas arahkan semua PBT (pihak berkuasa tempatan) robohkan rumah ibadah haram baik masjid, kuil, tokong dan sebagainya. Dengan keputusan PMX sekarang ini, saya mendoakan agar segala urusan beliau dipermudahkan. Kita sokong,” tambahnya.

Terdahulu, polis mengesahkan Penyelaras Garah, Zamri Vinoth dan Pengasas TanahMalaya.Com, Tamim Dahari Abdul Razak, antara 19 ditahan pihaknya malam semalam di lokasi sekitar pusat beli-belah Sogo yang dijadual berlangsung himpunan Garah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, tempoh tahanan reman ke atas dua individu itu dibenarkan bermula hari ini bagi tujuan membantu siasatan.

“Setelah pertimbangan dan risikan keselamatan, pihak polis tidak membenarkan penganjuran perhimpunan ini diadakan.

“Pihak polis turut menerima 131 laporan polis berhubung perhimpunan ini,” ujar Fadil pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Susulan itu, polis menjalankan tangkapan seramai 19 orang terdiri 15 lelaki dan empat wanita termasuk Zamri Vinoth dan Tamim Dahari di mana kesemua mereka berusia 30 hingga 64 tahun.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast