Gelagat orang ramai menaiki bas RapidKL di antara Stesen LRT Masjid Jamek ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 30 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Transit Malaysia membantah penamatan 29 laluan bas RapidKL yang diganti dengan perkhidmatan Demand Responsive Transport (DRT) Rapid On-Demand.

Menurutnya, langkah ini menegaskan kegagalan pihak kerajaan pada setiap peringkat dalam menangani bertahun pengabaian perkhidmatan bas serta kadar penggunaan yang rendah.

Bulan lalu, Rapid Bus Sdn. Bhd. (Rapid Bus) mengumumkan penstrukturan semula beberapa laluan bas terpilih di Lembah Klang secara berfasa sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kecekapan operasi dan kebolehpercayaan perkhidmatan pengangkutan awam bas.

Fasa pertama penstrukturan akan bermula pada 16 Januari 2026 dan melibatkan 16 laluan bas perantara MRT serta tiga laluan bas Rapid KL yang akan ditukar kepada perkhidmatan Rapid KL On-Demand sepenuhnya.

Penstrukturan ini dilaksanakan berdasarkan jumlah penumpang harian yang rendah, selain kewujudan pilihan alternatif melalui perkhidmatan Rapid KL On-Demand di laluan-laluan terlibat.

Namun, Transit Malaysia mendakwa, DRT yang diuar-uarkan seluruh dunia sebagai penyelesaian untuk penyediaan perkhidmatan yang mencukupi liputan bagi kawasan jarang berpenduduk yang tidak mampu menerima pengkhidmatan bas yang berkesan.

Katanya, DRT boleh menjadi penyelesaian sementara bagi kawasan perumahan terpisah seperti Bukit Antarabangsa dan Taman Kemensah yang kini tidak mampu menerima pengkhidmatan bas standard akibat kepadatan yang tidak berupaya ditanggung oleh jalan raya tempatan.

“Namun, kawasan di Lembah Klang yang telah menerima penggantian bas kepada DRT mempunyai tahap kepadatan yang dikira oleh pelbagai bandar di seluruh dunia sebagai tahap kepadatan yang cukup untuk menerima perkhidmatan kenderaan berkapasiti tinggi seperti bas berartikulasi dan trem,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di samping itu, ketiadaan kenderaan dan logistik perjalanan rumit yang berkaitan dengan DRT menjadikannya kurang dapat diharap berbanding perkhidmatan bas laluan tetap yang menjamin ruang bagi penumpang tanpa mengambil kira keadaan trafik.

Oleh itu, keputusan kerajaan untuk menurunkan taraf bas kepada van merupakan perkara yang amat dikesali terutamanya apabila mengambil kira ketiadaan statistik perjalanan DRT yang tidak dipenuhi akibat isu kapasiti dan penjadualan.

Jelasnya, percubaan lalu menggunakan kenderaan kecil di Singapura telah ditamat dalam tempoh masa beberapa tahun sahaja malah menunjukkan bahawa orang awam lebih mengutamakan perkhidmatan bas yang andal dan kerap.

Oleh itu, Transit Malaysia mendesak kerajaan untuk melabur lebih banyak kepada penambahbaikkan rangkaian bas dalam bandar.

“Rangkaian bas yang lengkap memerlukan infrastruktur yang mengutamakan pergerakan bas dan pejalan kaki serta penyambungan semula penempatan yang telah dipotong akibat halangan buatan manusia seperti lebuhraya dan pembangunan berpagar.

“Sekurang-kurangnya, kerajaan sepatutnya memastikan perkhidmatan van kekal pada tambang yang berpatutan. Namun, pemegang pas My50 perlu membayar tambang RM2 untuk menggunakan perkhidmatan gantian Rapid On-Demand,” katanya lagi.

Transit Malaysia menambah, walaupun berlakunya peningkatan pembangunan dan kesesakan lalu lintas, tiada pelan jangka panjang dibentang untuk peralihan daripada perkhidmatan DRT kepada rangkaian pengangkutan kapasiti tinggi yang lengkap.

Sedangkan, rangkaian ini mustahak bagi meningkatkan kualiti hidup dalam bandar.

Dalam senario keadaan rangkaian bas yang andal, lengkap dan berfungsi sepenuhnya, perkhidmatan atas permintaan berasaskan van tidak sekali-kali akan mampu menggantikan perkhidmatan bas laluan tetap yang menggunakan modal kos per penumpang.

Namun, katanya, rangkaian bas Lembah Klang tidak pernah memberi manfaat kepada kebanyakan pengguna jalan raya walaupun sebelum pengecutannya sebanyak 13% akibat penggantian bas ke van yang sedang berlangsung.

Transit Malaysia mahu pihak kerajaan hendaklah berterus-terang berkaitan keputusannya untuk mengambil Langkah jangka pendek DRT, dengan data dan justifikasi kewangan.

Jika tidak, langkah ini hanya sekadar menampal ketirisan operasi bas, sendiri merupakan gejala situasi semasa pengangkutan bandar
yang telah lama terbengkalai, ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast