KUANTAN – Seorang penolong pengurus wanita kerugian lebih RM1.3 juta akibat terpedaya dengan panggilan telefon.
Mangsa dari Bentong dan berusia 55 tahun telah menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali yang mendakwa daripada pihak GDEX pada 11 Disember 2024.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa telah dimaklumkan dia telah menerima satu bungkusan mengandungi barangan terlarang.
“Panggilan tersebut kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis.
“Suspek telah memperdaya mangsa dengan mendakwa wang simpanan mangsa perlu disiasat bagi mengenal pasti sumber kewangan, menyebabkan mangsa berasa takut dan cemas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jelas Yahaya, mangsa seterusnya telah diarahkan untuk mengeluarkan wang simpanan daripada akaun KWSP serta pelaburan Public Bank Mutual, sebelum memasukkan wang tersebut ke dalam tiga akaun bank yang diberikan oleh suspek.
Mangsa telah membuat sebanyak lima transaksi pemindahan wang ke akaun-akaun berkenaan dalam tempoh 24 Disember 2025 hingga 4 Januari 2026, dengan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM1,313,210.00.
“Mangsa hanya menyedari telah ditipu selepas gagal menghubungi suspek apabila nombor telefon tersebut disekat dan terus membuat laporan polis,” katanya lagi.
Yahaya menasihati orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.
Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.
Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997. – MalaysiaGazette
















