Dr Zuhan Zain.

JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menjangkakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diadakan selewat-lewatnya November ini.

Naib Pengerusinya, Zuhan Zain berkata, jangkaan tersebut dibuat berdasarkan perkembangan politik semasa dan pihaknya sudah bersedia sepenuhnya.

Beliau yang juga Ketua Amanah Kawasan Kluang berkata, jentera parti di semua peringkat termasuk kawasan dan cawangan sudah sedia bagi menghadapi PRN secara tersusun dan menyeluruh.

“Amanah Johor juga siap berdepan sebarang kemungkinan pertandingan, sama ada dua penjuru atau tiga penjuru, dengan fokus utama memastikan kemenangan berpihak kepada Pakatan Harapan (PH) demi kestabilan dan masa depan negeri.

“Kesepaduan dalam PH adalah asas penting untuk menawarkan kepimpinan yang stabil, progresif dan berintegriti kepada rakyat Johor.

“Amanah Johor komited untuk terus bersama PH dalam menghadapi PRN kali ini bagi memastikan kepimpinan yang terbaik untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada PRN Johor 2022, UMNO dan BN menang 40 daripada 56 kerusi dengan PH yang terdiri daripada DAP menang 10 kerusi manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.

PN pula menang tiga kerusi yang mana Bersatu dua, manakala Pas satu kerusi sementara Parti Ikatan Demokratik (MUDA) juga satu kerusi.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast