Keadaan rumah dua mangsa yang maut dalam kebakaran di Taman Damai Jaya, Skudai, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kebakaran yang mengorbankan seorang wanita hamil dan seorang lelaki di Jalan Tenang 14, Taman Damai Jaya, Skudai di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha ketika dihubungi berkata, orang ramai perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh.

Ditanya mengapa suami kepada mangsa wanita itu dibawa ke balai polis, Radin Ramlan berkata, tindakan tersebut adalah prosedur biasa untuk mengambil keterangan waris.

Sementara itu, menerusi satu kenyataan, beliau memberitahu, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dalam insiden tersebut bagi memastikan tiada sebarang unsur jenayah terbabit dalam kejadian itu.

Jelasnya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

“Kes ini diklasifikasikan sebagai SDR dan siasatan lanjut akan diteruskan bagi memastikan tiada sebarang unsur jenayah terlibat,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 7 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan dan tindakan awal.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati kebakaran berjaya dipadamkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Ketika operasi menyelamat, bomba menemui dua mangsa dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA),” katanya.

Radin Ramlan berkata, kebakaran itu mengorbankan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 21 tahun yang mana dipercayai hubungan mereka adalah kenalan di tempat kerja.

Mayat kedua-dua mangsa sudah dibawa ke HSA bagi tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Punca sebenar kebakaran serta punca kematian mangsa masih dalam siasatan lanjut dan menunggu laporan rasmi aripada JBPM serta laporan bedah siasat,” tambahnya.

Kejadian itu yang berlaku di rumah teres dua tingkat di taman berkenaan mengorbankan Wan Nurkhairani Wan Norzaini, 21, dan Mohd Shahrizal Yap, 22. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast