KLUANG – Perkembangan terkini dalam negara yang melibatkan isu antara agama dan kaum dilihat membimbangkan serta perlu adanya tindakan segera agar jurang ketidakpuashatian tidak semakin melebar.
Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata, langkah merapatkan jurang itu perlu dilakukan agar keharmonian dikecapi selama ini dapat dipertahankan dan terus dinikmati seluruh rakyat.
“Rakyat diseru untuk mengembalikan keharmonian hidup bermasyarakat seperti ketika negara mencapai kemerdekaan dengan mengamalkan konsep saling menghormati antara satu sama lain tanpa mengira kaum dan agama.
“Ini kerana apabila hilangnya perasaan itu akan menyebabkan perpaduan rakyat yang telah terjalin sejak lebih 60 tahun menjadi pudar dan seterusnya mampu membawa negara ke lembah kehancuran,” katanya.
Dr Loga berkata demikian kepada pemberita ketika hadir dalam Pesta Ponggal PPP Negeri Johor di Dewan Terbuka Taman Kluang Barat di sini hari ini.
Katanya, apa yang penting pemimpin negara, ahli Parlimen dan ketua-ketua masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing tanpa perlu mengikut fahaman kepartian kerana kesejahteraan rakyat serta keamanan negara lebih utama daripada segala-galanya.
Paling membimbangkan, katanya, apabila perasaan saling hormat menghormati antara kaum itu hilang dan keadaan berkenaan boleh membawa kepada satu masalah besar kepada negara.
“Sebagai pemimpin PPP, saya menyeru agar rakyat di negara ini kembali hidup seperti zaman bermulanya kemerdekaan negara yang pada masa itu mereka hidup bagai sebuah keluarga besar dan saling bekerjasama dalam apa juga permasalahan dihadapi.
“Apa yang berlaku sekarang adalah kerana sebahagian daripada pemimpin kita ini hanya memikirkan politik semata-mata tanpa mengambil kisah kesannya kepada rakyat pada masa akan datang,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut menggesa kerajaan mengambil cakna dengan kos sara hidup yang semakin meningkat terutama barang-barang keperluan asas seperti beras dan minyak masak.
Ujarnya, pemberian Sumbanan Asas Rahmah (Sara) diberikan kerajaan seakan tidak memberikan apa-apa makna jika jumlahnya tidak mampu menampung perbelanjaan sesebuah keluarga.
“Bukan tidak bersyukur namun dengan RM100 yang diberikan itu ia akan tidak memberikan apa-apa makna apabila harga barangan dibeli terlalu tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette
















