KUALA LUMPUR – Kerajaan pastikan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bukan sekadar dokumen perancangan, dalam masa yang sama akan memberi manfaat nyata kepada rakyat.
Justeru Menteri Ekonomi baharu, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pelaksanaannya dipantau oleh Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) dan MyRMK.
Jelasnya, PPD merupakan dokumen pelaksanaan dasar peringkat nasional yang akan menjadi panduan semua kementerian, jabatan, agensi, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pertubuhan masyarakat sivil (CSO).
“PPD mengandungi maklumat yang lebih terperinci seperti sasaran, tempoh pelaksanaan dan senarai pihak yang bertanggungjawab sebagai peneraju strategi dan pelaksana inisiatif RMK13,” katanya Ketika sesi Penggulungan Titah Diraja, di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu katanya, MyRMK akan memantau RMK13 bagi memastikan pelaksanaan projek dan program yang berkaitan dapat dipercepat dan diselaras dengan baik.
“Sistem MyRMK akan diintegrasikan dengan sistem lain, seperti MyProjek dan MyBelanjawan.
“Pengukuhan peranan jawatankuasa sedia ada bagi memastikan pelaksanaan projek dapat dipantau secara rapi dan isu pelaksanaan dapat dikenal pasti serta ditangani dengan lebih awal,” tambah Akmal.
Tambah beliau, kerajaan juga memantapkan mekanisme pemantauan pelaksanaan RMK13 dengan memperluas peranan Kumpulan Perancang Antara Agensi (IAPG) di Kementerian Ekonomi.
Menurutnya, penyelarasan pemantauan dasar kerajaan juga diperkukuh melalui penglibatan agensi-agensi pemantau lain, termasuk Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri untuk membincangkan isu pelaksanaan ecara menyeluruh.
“IAPG ini akan melaporkan prestasi pelaksanaan RMK13 secara berperingkat sehingga ke peringkat Jemaah Menteri.
“Pengukuhan ini turut dilaksanakan dengan peningkatan penglibatan pemantauan pada peringkat negeri melalui beberapa platform sedia ada seperti Mesyuarat Kerjasama Strategik Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Persekutuan dan Negeri dan Majlis/Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















