KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bercadang untuk memperkukuhkan penguatkuasaan terhadap agensi pelancongan dalam talian (OTA) terutamanya berkaitan klausa pariti harga.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, ini kerana klausa itu menyekat hotel daripada menawarkan kadar keutamaan melalui saluran alternatif dan hotel terpaksa mematuhi terma OTA termasuk kadar yuran komisen yang tinggi.
“Untuk mengimbangi kos ini, hotel sering menaikkan kadar bilik mereka yang akhirnya mengehadkan keupayaan pengguna untuk mencari tawaran yang lebih baik di platform lain dan memaksa mereka membayar harga lebih tinggi.
“Amalan serupa telah pun diperiksa oleh pihak berkuasa persaingan di bidang kuasa lain seperti Hong Kong, Jepun dan China yang menekankan keperluan untuk perhatian yang lebih teliti di Malaysia.
“Ini memerlukan kerjasama rapat dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) terutamanya dalam mengakses data industri dan melibatkan pihak berkepentingan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Peluncuran Kajian Semula Pasaran Ekonomi Digital di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Tan Sri ldrus Harun.
Klausa pariti harga ialah syarat kontrak yang mana penjual berjanji untuk tidak menawarkan harga yang lebih rendah pada platform lain berbanding platform yang menandatangani kontrak tersebut.
Ini bagi memastikan harga seragam, mencegah persaingan harga yang agresif dan mengikat penjual kepada polisi harga terendah platform berkenaan.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, antara dapatan kajian semula itu menunjukkan terdapat amalan tertentu oleh platform digital yang berpotensi menjejaskan persaingan yang adil.
Ia memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat serta daya saing perniagaan tempatan terutamanya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Ini termasuk struktur komisen yang tinggi, terma kontrak bersifat menyekat, ketelusan terhad dalam mekanisme penetapan harga dan kawalan ke atas data pengguna.
“Sehubungan itu, MyCC mencadangkan beberapa tindakan konkrit antaranya penubuhan pasukan khas pasaran ekonomi digital di bawah pendekatan whole-of-government bagi membolehkan kerajaan menangani jurang pengawalseliaan pasaran ekonomi digital dengan lebih berkesan.
“Kajian ini menzahirkan keperluan untuk menggerakkan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Persaingan 2010 terhadap agensi pelancongan atas talian melalui kerjasama rapat MyCC, MOTAC serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
“Selain itu, penambahbaikan kaedah percukalan dıgital perlu dilaksanakan bagi memastikan platform digital menyumbang secara adil kepada pembangunan negara.
“Data kutipan Cukai Perkhidmatan ke atas Perkhidmatan Digital (SToDS) menunjukkan peningkatan kepada RM1.62 bilion pada tahun 2024 berbanding RM802 juta pada tahun 2021.
“Namun demikian, kajian ini menganggarkan wujud jurang potensi sumbangan cukai tahunan yang signifikan berikutan perbezaan kadar cukai antara platform digital dan perniagaan tempatan,” katanya.
Sementara itu, Kajian Semula Pasaran Ekonomi Digital dilaksanakan selama 18 bulan bermula Julai 2024 dengan memfokuskan kepada empat bidang utama.
Ia melibatkan sistem pengendalian mudah alih dan perkhidmatan pembayaran; platform e-dagang runcit dan perkhidmatan pengiklanan digital dan OTA. – MalaysiaGazette

















