Keadaan sebuah LRA yang menyusut akibat ketiadaan hujan di Johor sejak kita-kira sebulan lalu.- Ihsan Facebook Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

JOHOR BAHRU – Loji Rawatan Air (LRA) Yong Peng menyalurkan tambahan air sebanyak empat juta liter sehari (JLH) bagi menampung keperluan LRA Simpang Renggam yang kini hanya mampu beroperasi sekitar 34 peratus kapasiti.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, langkah itu diambil bagi menstabilkan bekalan air di LRA Simpang Renggam.

Jelasnya, LRA berkenaan berkurangan susulan paras Sungai Benut yang berada pada tahap minimum manakala Empangan Machap berada bawah paras operasi selamat.

Beliau berkata, pada masa sama, pemasangan sistem pontoon di Empangan Machap juga sedang dilaksanakan bagi membolehkan tambahan sehingga 20 JLH air disalurkan ke Sungai Benut untuk menyokong operasi loji.

“Keadaan di lapangan kini, sebanyak 28 lori tangki air sedang beroperasi di Kluang dan Pontian.

“Hari ini, tambahan 14 lori tangki dari luar Johor dijangka tiba, manakala 15 lagi lori tangki bantuan dari negeri lain turut digerakkan khusus untuk kawasan Pontian dan Simpang Renggam, selain 41 tangki air statik juga ditempatkan di lokasi keutamaan.

“Operasi pembenihan awan turut dijadualkan pada 11, 12 dan 15 Februari ini sebagai usaha meningkatkan peluang hujan di kawasan tadahan air,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir itu berkata, bagi LRA Lok Heng pula yang kini beroperasi sekitar 40 peratus, Ranhill SAJ (RSAJ) sudah mengaktifkan pengambilan air dari Sungai Lukah sejauh 3.5 kilometer dan proses pengepaman sedang berjalan untuk membantu menstabilkan operasi.

Katanya, di Skudai, LRA Skudai (50 MLD) pula terhenti sejak 31 Januari akibat paras ammonia yang tinggi susulan aliran sungai yang rendah.

“Bagaimanapun, bagi LRA Skudai, tiada akaun pengguna terjejas kerana bekalan disokong oleh LRA Semangar, LRA Sungai Layang serta tambahan 25 MLD (million liter per day) daripada PUB,” ujarnya.

Mohamad Fazli berkata, fokus utama kerajaan negeri ketika ini adalah untuk memastikan bekalan asas terus sampai kepada rakyat walaupun berdepan cabaran paras air mentah yang rendah.

Katanya, setiap langkah mitigasi sedang digerakkan secepat mungkin bagi meminimumkan kesan kepada pengguna.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast