KULAI – Seorang pengurus sebuah syarikat rugi RM399,600 selepas terjerat urusan pembekalan katil secara dalam talian melalui tender tidak wujud awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa iaitu seorang lelaki berusia 47 tahun mendakwa ditipu satu sindiket yang menawarkan tender pembekalan katil.
“Sebelum itu, lelaki tersebut telah dijanjikan akan menerima pulangan lumayan menerusi pembayaran 270 buah katil sebelum menebus keuntungannya apabila katil sudah diperoleh.
“Selepas berminat dengan tawaran dijanjikan, lelaki itu kemudiannya membuat empat transaksi dalam dua akaun bank tempatan secara berperingkat-peringkat berjumlah RM399,600 pada kelmarin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sejurus membuat pembayaran, lelaki berkenaan membuat semakan dengan pihak yang dinyatakan oleh sindiket namun mendapati tawaran berkenaan tidak wujud.
“Setelah merasakan dirinya tertipu, lelaki itu kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai semalam,” katanya.
Menurut beliau lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan orang ramai diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang pelaburan atau urusan dalam talian yang menawarkan keuntungan tidak masuk akal.- MalaysiaGazette
















