KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kes pemerasan serta penyebaran gambar aib melalui Facebook pada 5 Februari lalu, melibatkan seorang wanita Melayu berusia lewat 20-an yang ditahan pada Sabtu lepas di Bandar Puncak Alam, Selangor.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, suspek ditahan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras hasil siasatan yang dijalankan susulan laporan dibuat oleh mangsa.
“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham serta perasaan cemburu antara suspek dan mangsa.
“Suspek yang juga Orang Kena Tuduh (OKT) telah ditahan reman selama satu hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada Ahad lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana pemerasan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penyalahgunaan kemudahan rangkaian. – MalaysiaGazette
















