Seorang warga emas maut apabila motosikal ditungganginya kemalangan di Bukit Naning, Muar, di sini hari ini.

MUAR – Seorang warga emas maut apabila motosikal ditungganginya mengubah haluan secara tiba-tiba sebelum dilanggar sebuah kenderaan lain di Bukit Naning di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu yang melibatkan dua buah kenderaan pukul 7.36 pagi ini.

“Kemalangan tersebut melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah motosikal di laluan yang sama.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika pemandu MPV sedang bergerak lurus sebelum motosikal yang berada di bahu kiri jalan mengubah haluan secara mengejut untuk menyeberangi jalan lalu menyebabkan perlanggaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, akibat perlanggaran itu mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 73 tahun cedera parah di bahagian kepala dan badan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut Raiz, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000.

Tambahnya, pesalah juga boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun.

Pihaknya meminta saksi kejadian untuk menghubungi Inspektor Noor Khairun Izham Noor Yusry menerusi talian 013-9121508 atau hadir ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar bagi membantu siasatan.

“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika menyeberangi jalan, mematuhi peraturan lalu lintas serta mengutamakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast