Majlis menandatangani MoU antara Wawasanita dan Novatra Industries bagi menjayakan program Penukaran Al-Quran Lama Kepada Yang Baharu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Satu memorandum persefahaman (MoU) antara Wawasanita dan Novatra Industries dimeterai baru-baru ini bagi menjayakan Program Penukaran Al-Quran Lama ke Baharu yang dijangka dilaksanakan sempena Ramadan.

Penganjuran program tersebut mengambil inspirasi daripada saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Program Wakaf Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2026 di Putrajaya, yang menekankan kepentingan memastikan mushaf Al-Quran berada dalam keadaan terpelihara serta dihormati.

MoU tersebut ditandatangani oleh Presiden Wawasanita, Datin Dr. Norli @ Norlaili Alias bersama Ambassador Novatra, Siti Nurfatihah Azizan sambil disaksikan wakil komuniti Sungai Besar iaitu Mohd Idzwan, Mohd Hanif serta Muhamad Hadi.

Menerusi program berkenaan, lebih 500 naskhah Al-Quran baharu dijangka diagihkan kepada penduduk di Sungai Besar,  Selangor manakala kira-kira 300 naskhah Al-Quran lama dijangka dikumpulkan dan diuruskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor mengikut tatacara pemeliharaan bahan agama yang ditetapkan.

Program Penukaran Al-Quran Lama ke Bharu dijangka mengambil tempat pada 7 Mac akan datang bersempena Nuzul Quran yang dilihat sebagai simbolik dalam mempertingkatkan penghayatan masyarakat terhadap Kalamullah, selain menggalakkan amalan memuliakan Al-Quran dalam kehidupan seharian.

Selain penukaran mushaf Al-Quran, program berkenaan turut bakal diserikan dengan aktiviti komuniti seperti agihan kuih raya serta edaran bubur lambuk yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduk Sungai Besar.

Inisiatif itu bukan sahaja mengangkat syiar Islam di peringkat akar umbi, malah memperkukuh jaringan kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan masyarakat setempat dalam usaha memupuk nilai kebersamaan serta kepedulian sosial. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast