JOHOR BAHRU – Badan Pimpinan Negeri (BPN) Johor menafikan dakwaan kononnya hilang kepercayaan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua BPN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, dakwaan dibuat segelintir ketua bahagian itu tidak benar, mengelirukan dan tidak pernah mendapat mandat BPN Johor mahupun majoriti ketua-ketua bahagian Bersatu di negeri ini.
“Kenyataan terbabit hanyalah pendirian peribadi individu tertentu dan sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi kepimpinan parti di peringkat negeri. BPN Johor kekal menyatakan sokongan penuh kepada Presiden parti.
“Kepimpinan beliau adalah tonggak kestabilan parti dan sebarang usaha untuk menimbulkan persepsi sebaliknya hanya akan melemahkan organisasi serta mengelirukan ahli di peringkat akar umbi,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu Selasa lalu, seramai 14 ketua Bersatu Johor mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin berikutan kegagalan memimpin parti.
Ketua Bahagian Tanjung Piai, Musa Khamis berkata, ini termasuk kegagalan menguruskan krisis dalaman secara efektif serta penyalahgunaan prosedur disiplin terhadap pimpinan utama parti.- MalaysiaGazette
















