Rafizi Ramli.

KUALA LUMPUR — Seorang Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa kewujudan Datuk Seri Rafizi Ramli dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat menjadi punca perbalahan dalaman, malah disifatkan sebagai ‘batu api’ yang mengeruhkan hubungan sesama anggota parti.

Exco AMK Malaysia merangkap Ketua Biro Media Baru AMK Malaysia, Dzul Hilmi Zainol berkata, keadaan itu menyebabkan tumpuan ahli parti terpesong daripada usaha memperkukuh mandat rakyat yang diberikan kepada kepimpinan sedia ada.

Menurutnya, tindakan Rafizi yang sering menyuarakan pandangan melalui media sosial turut dipersoalkan memandangkan beliau merupakan Ahli Parlimen yang dipilih atas tiket parti dan gabungan kerajaan.

“Keberadaan Rafizi di dalam PKR hanya menyebabkan anggota di bawah berkelahi sesama sendiri. Ini yang kita namakan sebagai perangai Diva.

“Jika benar beliau ingin menyampaikan kebenaran kenapa harus di luahkan hanya di sosial midea, sedangkan DS Rafizi merupakan seorang MP yang memenangi pilihanraya lepas di bawah PKR atau PH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut merujuk teguran Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai isyarat jelas kepada semua anggota bahawa parti kini berada pada fasa penting untuk membuktikan mandat rakyat diuruskan dengan baik.

“Teguran Presiden PKR merupakan mesej jelas bahawa, ini lah waktu paling sesuai untuk kita membuktikan bahawa mandat yang di berikan kini berada di tangan yang betul,” katanya.

Dalam masa sama, Dzul Hilmi mendakwa, sekiranya Rafizi tidak memegang jawatan Ahli Parlimen ketika ini, episod lama berkemungkinan berulang seperti selepas pemilihan parti pada 2018.

“Saya yakin Diva seperti Rafizi kalau dalam tempoh sekarang beliau bukan merupakan seorang MP, sudah pasti akan berulang kembali episod di mana beliau mendiamkan sehingga habis penggal.

“Seperti apa yang berlaku pada Pemilihan Parti Keadilan tahun 2018 yang setelah beliau kalah kepada Azmin Ali dan ketika itu Rafizi bukan merupakan Seorang MP,” katanya.

Beliau bagaimanapun menolak tanggapan bahawa Rafizi tidak mahu Pakatan Harapan terus menerajui kerajaan, sambil menegaskan kerajaan kini berada di landasan memperjuangkan kepentingan rakyat dan masa depan negara.

“Saya juga menyangkal yang mana Rafizi tidak mahu PH terus menerajui Kerajaan, kerana dia tahu yang kerajaan hari ini sedang berada di landasan yang memperjuangkan nasib Rakyat dan Masa depan Negara,” katanya.

Tambahnya, Rafizi juga memahami bahawa usaha menangani isu rakyat serta membanteras rasuah memerlukan masa dan bukti kukuh sebelum tindakan diambil.

“Rafizi sedar yang semasa dia menjawat jawatan sebagai menteri isu rakyat dan membersihkan Negara menjadi agenda utama kepimpinan Kerajaan pada hari ini.

“Tetapi pelaksanaan memerlukan satu tempoh, dan untuk mengheret perasuah ini memerlukan bukti kukuh,” katanya. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast