BUTTERWORTH – Tiga lelaki termasuk suspek utama yang terbabit dalam kes pembunuhan seorang ibu tunggal di Flat Sri Murni di sini, pada Rabu lalu, disambung reman bagi membantu siasatan.
Dua suspek tempatan masing-masing berusia 40 dan 46 tahun disambung reman selama lima hari sehingga 16 Februari ini, manakala seorang lagi suspek berusia 38 tahun yang juga lelaki Rohingya disambung reman selama dua hari sehingga 13 Februari ini.
Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek itu dikeluarkan Majistret Balqis Roslin bagi membolehkan pihak polis melengkapkan kertas siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, kesemua suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 11 pagi dengan tangan dan kaki digari serta diiringi anggota polis.
ARTIKEL BERKAITAN
Media sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Pulau Pinang tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan wanita dipercayai angkara perasaan cemburu suspek terhadap mangsa.
Dalam kejadian 4 Februari lalu, mayat mangsa berusia 41 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring dalam sebuah bilik tidur dengan kesan luka kelar pada lehernya dipercayai dibunuh menggunakan senjata tajam.
Susulan itu pihak polis menahan tiga lelaki dalam tempoh kurang 24 jam bagi membantu siasatan kes tersebut. – MalaysiaGazette
















