KUANTAN – Kerajaan akan melaburkan sebanyak RM78 juta bagi tempoh lima tahun bagi memastikan kejayaan pelaksanaan Bas.My Kuantan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia meliputi peruntukan sejumlah RM15.6 juta setahun yang dibayar kepada pengendali perkhidmatan bas itu.
Beliau berkata, pengoperasiannya dijangka memperluas pilihan pengangkutan awam di bandar raya ini menjelang siapnya projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tahun hadapan.
“Kita harap pengendali dapat menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat agar mereka selesa dan paling penting menepati jadual yang ditetapkan serta tiada gangguan dari segi perkhidmatan.
“Bas.My Kuantan ni sudah sebulan beroperasi dan merupakan satu inisiatif di bawah Kementerian Pengangkutan menggantikan Rapid Kuantan.
“Tahun depan sudah ada ECRL. Jadi ada satu lagi pilihan untuk orang ramai balik ke Kuantan melalui pengangkutan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST) Bas.My Kuantan di pekarangan Stadium Darul Makmur di sini hari ini yang turut dihadiri Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir Razali Kassim.
Menurut Anthony, setakat Januari lalu, Bas.My Kuantan mencatatkan kira-kira 129,000 penumpang iaitu bersamaan hampir 4,000 penumpang sehari.
Beliau berkata, dalam usaha menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, kerajaan turut menyediakan tambang minimum termasuk tambang percuma tanpa had kepada warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan pelajar sekolah yang mendaftar kad konsesi.
“Dasar ini bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam,” jelasnya.
Bagi memastikan rakyat dapat menikmati perkhidmatan pengangkutan awam secara menyeluruh, beliau turut menyeru Kerajaan Negeri agar turut memperuntukkan dana yang mencukupi bagi pembangunan prasarana pengangkutan awam.
Katanya, usaha itu penting bagi membangunkan ekosistem pengangkutan awam darat yang mampan. – MalaysiaGazette
















