MELAKA – “Waktu kereta di belakang Perodua Myvi bunyikan hon amaran, saya ingat pemandu akan berhenti, rupanya dia terus merempuh kami yang sedang berhenti di lampu isyarat.
“Mujurlah dalam saat getir itu, saya sempat mengelak masuk gear satu untuk ke kiri sedikit, kalau tidak mungkin saya pun terkorban bersama seorang lagi penunggang motosikal,”.
Itulah saat genting yang memisahkan mangsa, Muhammad Zafran Abdul Rahman, 25, dengan ajal.
Dia yang menunggang motosikal Yamaha Y15 mengalami patah kaki kanan akibat nahas yang berlaku di persimpangan lampu isyarat di Padang Jambu, Bukit Baru di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, bapa kepada empat anak, Mohd Shahrol Anuar Md Roby, 44, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5, meninggal dunia di tempat kejadian akibat rempuhan Myvi berkenaan dipercayai pemandunya, lelaki berusia 35 tahun mengalami microsleep.

Menurut Muhammad Zafran, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke kilang tempatnya bekerja di Batu Berendam selepas keluar makan dan motosikalnya berada bersebelahan dengan mangsa yang maut.
“Kejadian berlaku begitu pantas dan waktu itu memang kami semua sedang berhenti di lampu isyarat merah untuk masuk ke simpang kanan.
“Bila terdengar sahaja hon amaran kereta di belakang Myvi berkenaan, saya sudah rasa tak sedap hati apabila melihat pemandunya masih bergerak laju sebelum saya terus masuk gear satu dan bergerak ke kiri.
“Dalam sekelip mata, kereta itu terus merempuh kami menyebabkan kaki saya patah akibat terkena bumper Myvi berkenan sebelum ia terbalik,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Menurutnya, dalam keadaan cemas itu, dia terus menghubungi keluarga dan rakan untuk mendapatkan bantuan.
“Masa itu, saya tak tahu pun ada penunggang motosikal lain di sebelah saya meninggal dunia kerana keadaan kelam kabut.
“Bagaimanpun, saya bersyukur kerana sempat bertindak pantas dalam satu saat yang memisahkan saya dengan ajal,” tambahnya.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan Mohd Shahrol maut manakala empat lagi cedera selepas pemandu Myvi berkenaan dipercayai microsleep sebelum terbabas dan merempuh tiga motosikal dan dua buah kereta yang sedang berhenti di persimpangan itu.
Rakaman papan pemuka berdurasi 41 saat yang tular di media sosial memaparkan kereta terbabit dipandu secara melulu sebelum merempuh mangsa dari arah bertentangan mengakibatkannya melambung dan meninggal dunia di lokasi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati pemandu Perodua Myvi berkenaan dipandu lelaki tempatan berusia 35 tahun yang datang dari arah Bandar Melaka menghala ke Bukit Beruang dipercayai terlelap seketika. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Lelaki dirempuh pemandu Myvi microsleep mahu ambil anak OKU dari sekolah
















