TANGKAK – Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai menceroboh dan mencuri pakaian dalam di sebuah kawasan perumahan di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak menahan suspek berkenaan pasa pukul 5 pagi.
“Suspek berusia 36 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian ceroboh rumah dan curi pakaian dalam di halaman rumah yang tular pada 1 Februari lalu berjaya diberkas.
“Suspek didapati mempunyai empat rekod jenayah lampau, termasuk dua rekod berkaitan kesalahan dadah.
“Sehubungan itu, suspek ditahan reman selama empat hari, bermula kelmarin sehingga 12 Februari 2026 bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh bagi mengenal pasti penglibatan suspek dalam kejadian-kejadian yang berkaitan.
Tambah Roslan, kes disiasat bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.- MalaysiaGazette
















