KUANTAN – Maxis dilantik oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menerusi perkongsian strategik selama 10 tahun untuk menyediakan infrastruktur rangkaian mudah alih 4G dan 5G bagi kegunaan semua pengendali rangkaian mudah alih di sepanjang jajaran dari Kota Bharu, Kelantan hingga ke Jalan Kastam, Selangor.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Maxis sebagai telco utama akan bekerjasama dan memastikan semua rangkaian telekomunikasi lain juga dapat dinikmati penumpang yang menaiki ECRL kelak.
“Saya juga ingin menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama awal antara Maxis dan U Mobile dalam pembangunan teknologi komunikasi 4G dan 5G.
“Melalui pendekatan Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (Multi-Operator Core Network, MOCN), infrastruktur komunikasi ini seterusnya akan dikongsikan bersama penyedia perkhidmatan lain seperti CelcomDigi, Telekom Malaysia dan YTL,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Peluncuran Khas Ketibaan Golden Tren EMU dan E-Loco Projek ECRL dan Penyeraan Surat Lantikan Penyedia Infrastruktur Rangkaian Mudah Alih Jajaran ECRL di Stesen ECRL KotaSAS, di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi MRL, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, TYT Ouyang Yujing; Exco Kerja Raya, Pengngkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir Razali Kassim, Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak dan Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL).
Jelas Fahmi, kerjasama strategik itu mencerminkan sokongan industri terhadap dasar kerajaan dalam menggalakkan perkongsian infrastruktur rangkaian, selaras dengan kerangka Perkongsian Infrastruktur Rangkaian negara.
Pendekatan ini bukan sahaja mengoptimumkan penggunaan infrastruktur, malah membolehkan penyedia perkhidmatan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pengalaman pengguna serta kualiti perkhidmatan kepada rakyat.
“Pendekatan bersepadu ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penumpang ECRL, malah memperkukuh liputan rangkaian di sepanjang koridor ECRL yang merangkumi stesen-stesen ECRL, kawasan bandar, pembangunan bandar baharu berorientasikan transit (TOD), kawasan pinggir bandar serta luar bandar,” tambahnya.

Dengan siapnya infrastruktur rangkaian itu kelak, Fahmi berkata, Maxis, CelcomDigi, U Mobile, YTL dan Telekom Malaysia akan dapat menyediakan perkhidmatan 4G dan 5G kepada penumpang ECRL dengan tahap kualiti liputan yang mematuhi Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS).
Ia seterusnya akan memastikan ketersambungan perkhidmatan Internet dan telekomunikasi yang stabil dan berterusan, sekali gus meningkatkan tahap keselesaan, keselamatan serta produktiviti para pengguna sepanjang perjalanan. – MalaysiaGazette
















