KUALA LUMPUR – Pelakon Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh bakal mengukir namanya sebagai bintang ke-2,836 di Hollywood Walk of Fame pada minggu depan.
Penghormatan berprestij itu akan berlangsung di hadapan bangunan ikonik Grauman’s Chinese Theatre, lokasi yang menjadi saksi gemilang perjalanan legenda filem dunia.
Penerbit Walk of Fame, Ana Martinez dalam satu kenyataan memuji kehebatan Yeoh yang disifatkan meninggalkan jejak luar biasa dalam industri hiburan antarabangsa.
“Bakat, keanggunan dan kerjaya perintis Michelle memberi kesan mendalam kepada industri hiburan.
“Penghormatan ini mengiktiraf seorang pelopor yang terus memberi inspirasi kepada penonton di seluruh dunia,” katanya.
Yeoh menerima pengiktirafan dalam kategori Filem (Motion Pictures), sekali gus meletakkan namanya sebaris tokoh legenda layar perak dunia.
Majlis itu akan dikendalikan pengarah tersohor, Jon M. Chu, yang pernah bekerjasama dengannya menerusi Crazy Rich Asians dan Wicked. Turut tampil memberi penghormatan ialah pengarah Taiwan yang disegani, Ang Lee — individu di sebalik kejayaan epik Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000) — selain wartawan hiburan berpengaruh, Jenelle Riley.
Nama Michelle Yeoh bukan asing dalam lipatan sejarah perfileman dunia. Pada 2023, dia mencipta sejarah sebagai pelakon Asia pertama memenangi Oscar bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi Everything Everywhere All At Once.
Lebih membanggakan, beliau juga rakyat Malaysia pertama yang dicalonkan dan memenangi Anugerah Akademi.
Filem berkenaan turut menghadiahkan Yeoh trofi Golden Globe dan Screen Actors Guild (SAG), memperkukuh statusnya sebagai aktres berkaliber antarabangsa.
Perjalanan gemilangnya bermula menerusi filem aksi Hong Kong pada era 1990-an sebelum menawan Hollywood dengan deretan karya bertaraf blockbuster. Antaranya Crazy Rich Asians, yang mencatat sejarah sebagai komedi romantik dengan kutipan tertinggi di Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh lebih sedekad.
Terbaharu, Yeoh memukau penonton menerusi adaptasi blockbuster Wicked dan sekuelnya, Wicked: For Good, dengan membawakan watak Madame Morrible penuh karisma.
Di luar layar perak, figura ini terus disanjung dunia. Yeoh dinamakan sebagai Ikon Tahunan Majalah Time pada 2022 dan dilantik sebagai Duta Muhibah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) sejak 2016, memperjuangkan kesedaran alam sekitar serta pembangunan mampan.
Langkahnya tidak pernah terhenti. Antara projek terbaharu ialah filem pendek drama Sandiwara arahan Sean Baker yang dirakam menggunakan iPhone dan bakal ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Berlin ke-76 pada 13 Februari 2026.
Lebih menarik, Yeoh turut kembali ke layar perak berbahasa Cina selepas lebih sedekad menerusi filem Miss Rubik’s Cube yang dijadual menemui penonton pada 2026. – Agensi
















