KUANTAN – Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menghargai keputusan pembebasan 17 individu orang asli yang ditahan berkaitan pencerobohan tanah di Kampung Orang Asli Jemeri, Rompin kelmarin.
Unit Komunikasi Korporat JAKOA menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya telah bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai kejadian itu dan menghormati sepenuhnya proses siasatan yang sedang dijalankan.
“JAKOA mengambil maklum serta menzahirkan keprihatinan terhadap laporan berhubung penahanan 21 individu daripada komuniti Orang Asli yang dikaitkan dengan insiden pencerobohan tanah di Kampung Orang Asli Jemeri, Rompin melibatkan kawasan tanah milik Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Kami menggesa semua pihak agar memberi ruang serta masa kepada pihak polis untuk melaksanakan siasatan secara adil, telus dan berlandaskan undang-undang,” katanya.
Dalam masa sama, JAKOA katana kekal komited untuk memainkan peranan sebagai agensi yang menjaga kepentingan masyarakat Orang Asli, termasuk memantau perkembangan kes, memberi sokongan yang sewajarnya serta memastikan kebajikan komuniti terus diberi perhatian selaras dengan peruntukan undang undang dan prinsip keadilan sosial.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi mengesahkan penahanan 21 penduduk Orang Asli dari Kampung Jemeri, Rompin kerana didakwa menceroboh tanah milik Sultan Pahang.
Menurutnya, perkara itu dimaklumkan oleh wakil syarikat dilantik untuk mengusahakan kawasan ladang berkenaan yang mendakwa sekumpulan Orang Asli menceroboh dan merosakkan palang besi serta memotong kelapa sawit di kawasan ladang milik Sultan Pahang seluas 718.281 hektar tanpa kebenaran.
Kesemua yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan 17 wanita berusia antara 26 hingga 60 tahun.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan (pencerobohan tanah) dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan (kerosakan harta).
Bagaimanapun, Sharif Shai berkata, 17 wanita orang asli suku Jakun itu telah pun dibebaskan kira-kira jam 5 petang semalam, manakala empat lelaki orang asli berkenaan akan dibebaskan hari ini. – MalaysiaGazette
















