JOHOR BAHRU – Pas Johor menggesa kerajaan negeri segera melakukan tindakan berani dan strategik dalam menangani krisis air yang dijangka berlaku menjelang suku kedua tahun ini.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, pertama perlu dilakukan diversifikasi sumber air iaitu dengan meningkatkan teknologi rawatan semula air, tadahan baharu dan pemeliharaan air hujan.
“Kedua, perlindungan tadahan dan sungai yang melibatkan kawalan pembangunan tegas, dan penguatkuasaan undang-undang terhadap pencemaran.
“Ketiga pula pengurusan penggunaan industri di mana sektor berintensifkan air mesti dikawal, tidak boleh membebankan rakyat biasa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, keempat adalah menyedia pelan kecemasan telus dan komprehensif iaitu penyediaan air alternatif, pemakluman jelas kepada rakyat dan jadual operasi loji rawatan air (LRA) yang sistematik.
Katanya, langkah itu perlu diambil kerana Johor hari ini berada di ambang kebimbangan terhadap bekalan airnya.
Dilaporkan katanya, bahawa empangan utama negeri iaitu Upper Layang hanya mempunyai kapasiiti 46.89 peratus, Pulai 1 (47.63 peratus), Gunung Pulai 2 (56 peratus) dan Lower Layang (60.33 peratus) kini berada di bawah paras selesa.
Malah kata beliau, dua daripadanya sudah jatuh di bawah 50 peratus dan itu bukan angka statistik kosong tetapi amaran nyata bahawa sistem bekalan air negeri sedang berada di zon risiko.
Secara keseluruhan, 16 empangan masih mencatat purata 70 peratus, namun katanya, purata itu menyembunyikan tekanan sebenar di lembangan tertentu.
Jelasnya, rakyat Johor tidak menerima air secara purata, sebaliknya menerima air berdasarkan empangan dan LRA tertentu.
“Apabila Bekalan Air Berjadual (BAB) sudah dilaksanakan di Kluang dan Pontian, jelas bahawa tekanan air bukan lagi isu teori atau amaran, ia kini sedang diurus secara kecemasan.
“Lebih membimbangkan, negeri ini telah lebih sebulan tanpa hujan, menimbulkan risiko penurunan paras empangan yang lebih cepat. Jika kemarau berterusan, gangguan bekalan boleh berlaku menjelang suku kedua tahun ini,” katanya .
Cadangan pembenihan awan di negeri ini ujarnya, hanya intervensi sementara, bergantung kepada nasib cuaca dan bukan penyelesaian strategik.
“Sejak 2016 lagi, saya menekankan melalui Resolusi Kongres Rakyat Johor bahawa krisis air di negeri ini adalah masalah sistemik dan berulang,” katanya.
Tegasnya, tadahan air perlu dilindungi, penguatkuasaan undang-undang air mesti diperkukuh dan pelan jangka panjang disediakan untuk memenuhi permintaan domestik dan industri yang semakin meningkat.
Namun tekanan semasa menunjukkan bahawa kerajaan negeri masih bertindak secara reaktif, bergantung kepada pengumuman BAB atau mesyuarat pelan kemarau tanpa strategi jangka panjang yang jelas, katanya.
Khairul Faizi berkata, pendekatan itu tidak lagi memadai katanya dan kebimbangan terhadap masalah air di Johor juga sudah disuarakan pertubuhan Sahabat Alam Malaysia (SAM) kerana Johor merupakan pasaran pusat data terbesar di Malaysia.
Dakwanya, SAM menyatakan bahawa pertumbuhan pesat dan kebergantungan yang kian meningkat masyarakat terhadap teknologi komunikasi melalui jajaran internet dan perkhidmatan disediakannya seperti aplikasi media sosial, pengkomputeran awan, e-dagang serta ledakan industri kecerdasan buatan (AI) mendorong permintaan untuk pusat data.
“Kebimbangan ini akhirnya terjawab apabila Kerajaan Negeri Johor baru-baru ini menjelaskan bahawa akan mengkaji semula potensi air bawah tanah sebagai sumber alternatif untuk syarikat pusat data yang berkembang di negeri Johor.
“Air adalah isu keselamatan negeri. Ia menyentuh kesejahteraan rakyat, kestabilan sosial dan pertumbuhan ekonomi. Kepimpinan sebenar bukan sekadar mengurus krisis apabila berlaku tetapi merancang dan mencegahnya sebelum menjadi darurat,” katanya.
Jika kerajaan negeri terus berlengah katanya, rakyat akan menghadapi gangguan bekalan air yang lebih meluas, tekanan sosial meningkat dan tanggungjawab politik akan menjadi isu yang tidak boleh dielakkan.
“Tindakan berani mesti diambil sekarang, bukan apabila empangan kritikal kering dan rakyat beratur menadah air, katanya.- MalaysiaGazette
















