KUANTAN – Seorang pengurus ladang kelapa sawit direman lima hari bagi membantu siasatan kes membabitkan rasuah berjumlah RM20,000 di sini hari ini.
Perintah reman sehingga 15 Februari 2026 telah dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang di Mahkamah Majistret Kuantan di sini pagi tadi.
Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 30-an itu telah ditahan kira-kira 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan berhubung kes terbabit di Pejabat SPRM Pahang.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2023 hingga 2024.
“Suspek dipercayai telah menerima wang rasuah tersebut secara tunai sebanyak dua kali dengan setiap satunya berjumlah RM10,000,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette
















