BUKIT MERTAJAM – Polis Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket yang dipercayai memproses cecair vape mengandungi dadah jenis syabu lebih RM2 juta dalam serbuan di sini semalam.
Ketua polis negeri, Datuk Azizee Ismail, berkata, operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang kira-kira 4.25 petang itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
“Suspek ditahan di dalam sebuah kereta di kawasan parkir sebuah kondominium sebelum polis menyerbu sebuah premis berhampiran yang dipercayai dijadikan tempat penyimpanan dan pemprosesan bahan terlarang berkenaan.
“Hasil serbuan membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah termasuk MDMA, cecair syabu, pil ekstasi serta pil Eramin 5.
“Siasatan mendapati kegiatan ini aktif sejak Oktober tahun lalu dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan kira-kira 100,000 penagih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Azizee, hasil saringan air kencing suspek didapati positif dadah jenis ketamin, amphetamine dan methamphetamine hasil ujian selain dia mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.
“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 17 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette
















