KUALA LUMPUR – Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abd Samad menyangkal dakwaan kononnya parti itu gila kuasa apabila meminta Barisan Nasional (BN) bersikap terbuka dalam pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.
Sebaliknya, menurut beliau, Amanah adalah parti yang sangat berpegang kepada prinsip muafakat dalam berkerjasama dan bergabung.
Bukti paling jelas, katanya, apabila Amanah sanggup menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa dan Parlimen Muar kepada parti Muda untuk membolehkan kerjasama parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya lalu.
“Jika Amanah sebuah parti yang gila kuasa, itu tidak akan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Khalid, pihak yang sebenarnya gila kuasa adalah mereka yang tidak sanggup berunding dan berbincang demi menjamin kemantapan gabungan.
Menurut beliau, mementingkan parti sendiri akan mengaburkan pandangan serta pertimbangan, dan ia bukan cara Amanah yang berpegang kepada pendirian bahawa berkongsi kuasa dalam bergabung adalah pilihan yang jelas lebih baik.
Jelasnya, Amanah juga menyeru ke arah kesepakatan dan kemantapan kerjasama melalui rundingan dan perbincangan, kerana percaya semua pihak ada kekuatan tersendiri yang harus dihargai.
“Amanah yakin inilah budaya politik Melayu sebenar yang mengutamakan perpaduan dan kesepakatan, manakala budaya politik khianat dan fitnah, seperti budaya politik Perikatan Nasional (PN) perlu dicampak jauh,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman dilaporkan mendakwa tindakan Amanah yang terus menuntut pembahagian kawasan dalam PRN Johor dan Melaka disifatkan sebagai gilakan kerusi dan kuasa.
Dakwa Abdul Halim, tindakan Amanah yang berterusan membangkitkan perkara tersebut jelas memperlihatkan fokus dan agenda sebenar mereka bukan khidmat kepada rakyat, tetapi obsesi terhadap kuasa dan kerusi.
Kenyataan Abdul Halim itu sebagai reaksi kepada pendirian Khalid sebelum ini yang meminta BN bersikap lebih terbuka dengan bersedia berunding dan melepaskan kerusi disandang pada PRN Melaka dan Johor. – MalaysiaGazette
















