Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor membantu memindahkan mangsa kebakaran di Kampung Teluk Jawa ke PPS di Taman Megah Ria, Permas, Johor Bahru hari ini.

PASIR GUDANG – Seramai 117 mangsa kebakaran di Kampung Teluk Jawa di sini pagi tadi yang hampir semuanya tinggal sehelai sepinggang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka musnah.

Pengerusi Pengurusan Jawatankuasa Bencana negeri, Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, pemindahan tersebut melibatkan 30 keluarga Orang Asli ke PPS di Taman Megah Ria, Permas.

“Mereka semuanya mangsa kebakaran dari Kampung Teluk Jawa dan dipindahkan pada pukul 1 petang tadi,” ujarnya yang juga Setiausaha Kerajaan negeri dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 7.04 pagi itu, perkampungan atas air itu musnah dalam kebakaran namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Kebakaran di rumah papan atas air itu bukan sahaja mengakibatkan penduduk hilang tempat tinggal tetapi juga kenderaan seperti motosikal dan bot serta haiwan peliharaan tidak dapat diselamatkan.

Majoriti daripada penduduk bekerja sebagai nelayan, menjadi pemandu van sekolah dan bekerja di restoran makanan laut berdekatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast