Sebahagian rumah atas air musnah dalam kebakaran besar di penempatan Orang Asli 1, Kampung Teluk Jawa hari ini.

PASIR GUDANG- Sebanyak 30 buah rumah atas air musnah dalam kebakaran besar di penempatan Orang Asli 1, Kampung Teluk Jawa di sini hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Subri Md Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 7.04 pagi.

Susulan itu, 28 anggota dari BBP Pasir Gudang dan BBP Johor dibantu tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan perkampungan atas air berstruktur sementara yang dibina menggunakan dinding kayu, lantai papan dan bumbung zink dengan keluasan dianggarkan 200 x 200 kaki persegi.

“Kebakaran mengakibatkan kira-kira 90 peratus kemusnahan membabitkan keseluruhan 30 unit rumah.

“Bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan cedera atau terkorban kerana semua penghuni sempat menyelamatkan diri sebelum pasukan bomba tiba,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, selain rumah, kebakaran turut menyebabkan kerosakan dua bot berenjin dengan 50 peratus kemusnahan, sebuah kereta (5 peratus) dan enam buah motosikal (90 peratus).

Pihaknya menggunakan sumber air laut berhampiran dengan bantuan pam dalam memadamkan kebakaran berhampiran sebuah restoran makanan laut itu.

Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 7.41 pagi manakala kerja-kerja pemantauan masih diteruskan bagi memastikan tiada sisa api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast