Penguat kuasa JIM melakukan pemeriksaan dan tangkapan dalam operasi membanteras warga asing di kawasan tapak pembinaan dan kilang sekitar Muar, kelmarin.

MUAR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 26 warganegara asing selepas menggempur penempatan mereka di kawasan tapak pembinaan dan kilang sekitar daerah ini kelmarin.

Operasi bersepadu JIM Johor Cawangan Muar dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dilakukan bermula pukul 9 pagi.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 21 lelaki dan lima wanita yang berusia antara 19 hingga 48 tahun.

“Kita menjalankan operasi bersepadu bagi membanteras pelanggaran undang-undang imigresen serta mengekang aktiviti warga asing yang tidak mematuhi peraturan.

“Dalam operasi itu, kita menahan 10 lelaki warga Myanmar, dua lelaki warga Nepal, sembilan lelaki warga Bangladesh, dua wanita warga Myanmar dan tiga wanita warga Indonesia.

“Semua individu yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di Johor Bahru untuk siasatan lanjut dan tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang.

Katanya, sebanyak lima keping borang 29 iaitu saman kepada saksi turut dikeluarkan sepanjang pemeriksaan dilakukan untuk membantu siasatan.

Mohd Rusdi berkata, operasi itu digerakkan secara tegas dan tanpa kompromi bagi membanteras keberadaan pendatang asing tanpa izin (PATI), penyalahgunaan pas Imigresen serta pelanggaran undang-undang yang ditetapkan.

“Pemeriksaan menyeluruh dilakukan bagi memastikan setiap warga asing memiliki dokumen sah manakala pemilik premis dipantau bagi tingkah laku penggajian yang menyalahi undang-undang,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau menegaskan, pihaknya tiada toleransi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara dan pihak berkuasa akan terus menjalankan operasi bagi mengekang kegiatan seumpama ini.

Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan mereka – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast