JOHOR BAHRU – Seorang jurutera Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan setuju menerima wang berjumlah RM23,500 berkaitan dengan urusan perkhidmatan alat siaraya dan LCD projektor di UTHM, antara tiga hingga empat tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Iqbal Sarman, 40, membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan semua kertas pertuduhan, Muhammad Iqbal sebagai seorang penjawat awam iaitu Jurutera Gred J9 yang bertugas di Unit Penyenggaraan Elektrik, Pejabat Pembangunan dan Penyenggaraan UTHM didakwa setuju menerima untuk dirinya sendiri sesuatu benda berharga iaitu wang antara RM1,000 hingga RM6,000 yang keseluruhannya berjumlah RM23,500.
Perbuatan itu didakwa dibuat tanpa balasan daripada seorang lelaki berusia 52 tahun secara pindahan atas talian daripada akaun bank milik lelaki itu ke akaun bank milik tertuduh yang mana perbuatan itu ada hubungan dengan tugas rasmi tertuduh sebagai Jurutera UTHM bagi Perkhidmatan Alat Siaraya dan LCD Projektor (Berkala) di UTHM.
Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Cempaka 1, Taman Bunga Cempaka Biru, Parit Raja, Batu Pahat antara 26 November 2022 hingga 23 Disember 2023, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan yang dijalankan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhd Faizul Kamaro Zaman menawarkan jaminan RM10,000 memandangkan pertuduhan dihadapi tertuduh boleh dijamin.
Peguam, Tan Song Yan yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jumlah yang lebih rendah iaitu RM5,000 atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan yang ramai.
Katanya, tertuduh yang mungkin akan digantung kerja selepas ini menanggung isteri, empat anak yang masih kecil selain ibu bapanya.
“Tertuduh berpendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 sahaja namun mempunyai tanggungan isteri dan anak-anak yang berusia antara dua tahun hingga 12 tahun.
“Dia tinggal di rumah bersama ibu bapanya yang juga ditanggung oleh tertuduh. Untuk jaminan, adik tertuduh akan menjadi penjamin,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dan menetapkan 16 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – MalaysiaGazette
















