JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor digesa memberikan penjelasan terbuka dan telus mengenai status sebenar kapasiti bekalan air negeri termasuk masalah bekalan air di kawasan Menteri Besar Johor sendiri.
Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Muhammad Taqiuddin Cheman dan Ketua Angkatan Muda Keadilan AMK Johor, Faezuddin Puad dalam satu kenyataan bersama-sama, juga menggesa kerajaan negeri mengemukakan satu pelan mitigasi yang jelas.
“Ini bagi menangani gangguan semasa dan risiko jangka panjang. Pemuda Pakatan Harapan (PH) Johor juga menggesa kerajaan negeri memberi jaminan bahawa kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap keputusan pembangunan.
“Johor boleh terus maju sebagai hab pelaburan, namun kemajuan itu mesti berlaku secara seimbang. Hak rakyat terhadap keperluan asas seperti air bersih tidak boleh dikompromi,” menurut mereka dalam kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, media arus perdana ada melaporkan keadaan Sungai Benut dan Empangan Machap yang berada pada paras kritikal sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam beroperasi pada kadar rendah.
Pemuda PH Johor katanya, memandang serius isu tersebut yang sedang menjejaskan kehidupan rakyat di beberapa kawasan terlibat.
“Pemuda PH Johor ingin menegaskan bahawa kami tidak menolak pelaburan dan pembangunan, termasuk kemasukan industri berteknologi tinggi seperti pusat data yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.
“Namun begitu, dalam situasi rakyat berdepan gangguan bekalan air, persoalan dibangkitkan dalam kalangan rakyat ialah adakah operasi industri berintensif sumber air, termasuk pusat data, masih berjalan seperti biasa ketika rakyat diminta berjimat cermat,” katanya.
Mereka juga mempersoalkan bagaimana kerajaan negeri mengimbangi keperluan industri dengan hak asas rakyat terhadap bekalan air bersih.
Lantaran itu, mereka menuntut penjelasan tentang pelan jangka pendek dan panjang bagi memastikan krisis yang sama tidak berulang.
“Pemuda PH Johor tidak menyalahkan mana-mana pelabur atau industri. Isu sebenar ialah soal kecekapan dan keutamaan dalam pengurusan sumber air oleh kerajaan negeri.
“Bayangkan kawasan DUN YAB Menteri Besar Johor sendiri terpaksa menanggung kesan gangguan bekalan air. Ini menimbulkan persoalan tentang sejauh mana perancangan dan tadbir urus sumber air negeri diselaraskan dengan kepesatan pembangunan industri,” katanya.
Tambah kenyataan itu, pembangunan yang mampan bukan sekadar menarik pelaburan tetapi memastikan infrastruktur asas khususnya bekalan air berada pada tahap mencukupi sebelum kelulusan projek berskala besar diberikan.
Isnin lalu, media melaporkan krisis bekalan air semakin meruncing apabila Sungai Benut mencapai paras minimum, manakala Empangan Machap di bawah paras operasi selamat menyebabkan Loji LRA Simpang Renggam hanya mampu beroperasi sekitar 34 peratus kapasiti.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, situasi disebabkan musim kemarau berpanjangan, namun kerajaan negeri sedang menggerakkan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan kesan kepada rakyat.
Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, ketika ini kerajaan melaksanakan pengukuhan operasi LRA Yong Peng yang mampu menyalurkan tambahan empat juta liter sehari bagi membantu menstabilkan bekalan air.- MalaysiaGazette
















