KUALA LUMPUR – Lima lelaki ditahan susulan video tular sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda melanggar sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki tempatan yang berlaku hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Khar berkata, siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku rentetan perselisihan faham antara dua pihak yang berlaku di kawasan Kampung Sungai Jernih, Kajang.
“Siasatan awal mendapati motif kejadian adalah berpunca daripada pertikaian peribadi berkaitan isu tanah serta laluan lori di kawasan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, pihak polis telah menerima dua laporan berasingan.

Bertindak atas maklumat, polis telah menangkap dua lelaki bagi laporan polis kes pertama melibatkan seorang warga tempatan dan seorang lagi warga asing berumur dalam lingkungan 30 hingga 34 tahun.
Manakala bagi laporan polis kes kedua, seramai tiga lelaki warga tempatan berumur 24 hingga 38 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, suspek dalam laporan kes pertama merupakan pengadu bagi laporan kes kedua, manakala pengadu bagi kes kedua pula merupakan suspek dalam kes pertama.
Shazeli berkata, insiden ini berpunca perselisihan faham peribadi dan sama sekali tidak melibatkan sebarang unsur gangsterisme, mahupun isu perkauman.
Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri yang menyalahi undang-undang serta diminta supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307/279 dan Seksyen 395/365 kanun keseksaan. – MalaysiaGazette
















