Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dikenali sebagai ‘Cikgu Chandra’ ditahan polis selepas memuat naik hantaran di Facebook yang didakwa menghina komuniti India dan menimbulkan ketegangan awam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berbangsa India mengenai hantaran berkenaan pada 10 Februari lalu kira-kira jam 10 malam ketika berada di Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman.

“Pengadu menyatakan bahawa komuniti India tidak bertamadun serta menyentuh berkenaan isu kuil haram yang jelas adalah bersifat menghasut, menghina serta menyakitkan hati dengan niat mengganggu ketenteraman awam.

“Ia sekali gus berpotensi mendorong sesuatu tindakan di luar kawalan undang-undang. Kes telah disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, suspek ditahan semalam pada jam 3.00 petang dan merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuat naik pautan Facebook seperti yang telah ditularkan.

Hasil siasatan yang dibuat, suspek mengaku terlibat memuat naik posting berkenaan kerana berasa tidak berpuas hati dan untuk menarik perhatian pengikut-pengikutnya di media sosial.

“Suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

“Sehubungan itu, pihak menyeru dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang kenyataan atau memuat naik posting-posting sensitif yang menyentuh isu 3R dan boleh mengganggu keamanan serta keselamatan awam.

“Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana individu yang cuba memainkan sentimen-sentimen ini untuk meraih populariti dan meraih sokongan darimana-mana pihak,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast