KUALA LUMPUR – Pasangan Diraja Brunei, Paduka Seri Pangiran Muda Abdul Mateen dan isteri, Paduka Seri Pangiran Anak Isteri Anishsa Rosnah Adam berkongsi potret sulung keluarga mereka bersama puteri yang baharu dilahirkan.
Potret Pengiran Anak Zahra Mariam Bolkiah itu meraih lebih 500,000 tanda suka di Instagram dalam tempoh singkat selepas dimuat naik malam tadi.
Menerusi perkongsian sekitar pukul 9.30 malam itu, Putera Mateen memuat naik imej baginda mendukung anakanda perempuan yang turut dikenali sebagai ‘Princess Zahra’, sekali gus mencuri perhatian warga maya di dalam dan luar negara.
Dalam hantaran sama, baginda menzahirkan penghargaan kepada pasukan perubatan Jerudung Park Medical Centre (JPMC), Brunei atas penjagaan dan sokongan yang diberikan sepanjang proses kelahiran.
“Beta dan Anisha sangat bersyukur dengan kredibiliti pasukan di JPMC yang luar biasa atas penjagaan serta sokongan, selain menghargai segala ucapan diberikan (sempena kelahiran Puteri Zahra),” titah baginda.
Terdahulu, Ahad lalu, Anishsa Rosnah dilaporkan selamat melahirkan bayi perempuan pada pukul 8.50 pagi.
Khabar gembira itu terus mendapat perhatian masyarakat apabila ruangan komen media sosial pasangan Diraja berkenaan dibanjiri ucapan tahniah dan doa kesejahteraan buat ibu serta puteri yang baharu dilahirkan.

Putera Mateen merupakan anakanda ke-10 dan putera keempat Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, hasil perkahwinan dengan bekas isteri baginda, Mariam Abdul Aziz.
Sementara itu, Anishsa Rosnah menerusi hantaran di Facebook memaklumkan Sultan Hassanal Bolkiah berkenan mengurniakan nama kepada cucunda baginda. Beliau turut memuat naik petikan laporan Radio Televisyen Brunei (RTB News) yang menyatakan Kerabat Diraja Brunei merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu sepanjang kelahiran Puteri Zahra.
“Kerabat Diraja Brunei juga berterima kasih kepada semua pihak yang menyampaikan perutusan tahniah dan ucap selamat berikutan kelahiran cucunda baginda,” katanya. – MalaysiaGazette
















