JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor perlu bertenang dan menunggu rundingan pucuk pimpinan berhubung kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka tahun ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Amanah Johor tidak perlu tergesa-gesa berkenaan pembahagian kerusi dan parti tersebut seakan mabuk kuasa apabila terus membangkitkan persoalan tersebut.
“Yang mereka tergesa-gesa ni pasal apa? (Pengerusi Amanah Johor) Aminolhuda Hassan ni (yang membangkitkan isu kerjasama dan pembahagian kerusi) bukan kali pertama dia cakap benda ni.
“Saya nasihatkan mereka supaya bertenang dan tunggu keputusan daripada runingan peringkat atas itu je. Belum lagi ditentukan UMNO dan BN peringkat Pusat, saya rasa belum lagi bincangkan,” ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2026 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling di Kompleks Tan Sri Mohamed di sini malam tadi.
Sebelum ini, Aminolhuda yang juga Ketua PH Johor dilaporkan berkata, konsep ‘free for all’ mungkin pilihan terbaik bagi menyelesaikan kebuntuan mewujudkan kerjasama dengan BN di Johor dalam berdepan pilihan raya nanti.
Menurut Ahli Parlimen Sri Gading itu, menerusi pendekatan tersebut semua parti boleh bertanding di kerusi yang dituntut, sekali gus mengelakkan polemik ‘kerjasama perpaduan’ seperti di peringkat persekutuan.
Di Johor, BN menang besar dengan majoriti dua pertiga pada PRN 2022 lalu selepas menguasai 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH sekadar memenangi 12 kerusi termasuk satu milik Amanah di DUN Simpang Jeram.
Mengulas lanjut, Nur Jazlan berkata, apa yang dibangkitkan adalah tuntutan Amanah di peringkat negeri dan bukan kepimpinan PH di peringkat Pusat.
“(Ini) yang (masih) tidak mendapat restu daripada kepimpinan PH Pusat, kalau Mat Sabu (Datuk Seri Mohamad Sabu) yang
cakap, Presiden dia (Presiden Amanah), saya akan lebih hormatilah,” katanya .
Nur Jazlan yang juga Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara berkata, keputusan kerjasama atau pembahagian kerusi itu tidak dibuat kepimpinan PH di peringkat negeri tetapi di peringkat Pusat.
Beliau hairan mengapa kenyataan seperti itu dikeluarkan di peringkat negeri dan
berpendapat, kebimbangan Amanah Johor itu kerana kegagalan mereka mendapat sokongan orang awam Melayu.
Dakwanya, Amanah hanya mendapat sokongan orang bukan Melayu dan parti tersebut betul-betul bergantung dengan undi bukan Melayu.
“Perkara ini pun diakui sendiri oleh Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda yang mengarahkan sokongan pengundi Melayu kepada parti itu sekitar hingga lima peratus sahaja. Itu pun saya rasa kurang lagi daripada lima peratus.
“Masalahnya Amanah ini dilihat sebagai macai DAP. Jadi sebagai macai, dia tak boleh nak keluar percakapan yang tanpa asas, keputusan itu tak dibuat kepimpinan PH di peringkat Pusat lagi, macam mana dia dah buat statement begitu,” katanya.
Jelasnya, setakat ini di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sudah membuat keputusan kerjasama BN dan PH sehingga tamat tempoh penggal Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Katanya, selepas PRU-16 belum lagi ditentukan dan apabila bertanding nanti akan menggunakan logo BN, jika mahukan kerjasama juga boleh diteruskan secara tidak rasmi seperti dalam PRN Sabah.
“Akhirnya dua-dua PH dengan BN pengsan (banyak kalah dalam PRN Sabah). Soalan saya adalah berapa banyak kerjasama parti-parti yang menang pada PRU-15 dapat dikekalkan atau ditambah (kerusi)?
“Saya sendiri yakin bahawa UMNO boleh menambah jumlah kerusi yang kita boleh menang pada PRU-16 kalau lihat rekod PRN Sabah, UMNO masih dapat enam kerusi tapi PH telah mengalami kekalahan besar di sana,” katanya.
Nur Jazlan melihat UMNO kini adalah satu-satunya parti yang sedang meningkat naik sokongannya berbanding Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai masalah termasuk konflik dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ini.- MalaysiaGazette
















