KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli kecewa dengan jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dakwanya mempertahankan Tan Sri Azam Baki yang kini berdepan dengan isu integriti.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, dia menunggu lebih 24 jam untuk mendapat reaksi pertama Anwar berhubung isu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.
“Saya ulang verbatim reaksi Perdana Menteri: “Orang buat kerja nak pecat mengapa, nak suruh ambil perasuah jaga”.
“Baca penjelasan Azam Baki. Dia buat kerja, buat apa maki dia. Dengar penjelasan masing-masing”.
Rafizi berkata, dia kecewa dengan jawapan Anwar kerana mendakwa jawapan tersebut ‘tidak ada ommmph langsung.
“Tapi kita kena tabik juga kemahiran lari dari menjawab soalan yang PMX ada,” ujarnya.
Namun, menurut Rafizi, soalan rakyat mudah. Azam telah melanggar peraturan mengenai pemilikan saham oleh penjawat awam bukan sekali, bukan dua kali, setakat ini pendedahan menunjukkan sudah tiga kali.
Dakwa Rafizi, jumlah itu sama banyak dengan sambungan kontrak Azam oleh perdana menteri.
Soalnya, jadi apa tindakan yang akan diambil oleh kerajaan kerana perkara ini melunturkan kewibawaan SPRM.
Namun, kata Rafizi: “Jawapan PMX: dia buat kerja, nak suruh ambil perasuah jaga. Dua-dua jawapan ke laut”.
Tambah beliau, kalau alasan seorang yang buat kerja maka dia boleh langgar peraturan dan ada salah laku, maka Datuk Seri Najib tidaklah masuk ke penjara.
“Sembilan tahun beliau jadi perdana menteri, ada jasa beliau dan ada hasil kerja beliau.
“Tetapi, bila sudah terbukti ada pecah amanah yang melanggar undang-undang, maka beliau telah dijatuhkan hukuman. Tidak ada satu undang-undang pun di dunia ini yang mensyaratkan seseorang yang melakukan jenayah hanya boleh dihukum jika pesalah tidak buat kerja atau tiada kebaikan.
“Malah undang-undang yang ada di seluruh dunia adalah terbalik: kamu boleh ada jasa yang besar, tetapi jika kamu melakukan jenayah, kamu tetap dihukum seperti orang lain kerana jenayah tetap jenayah. Kalau tidak buat apa ada undang-undang.
Mengulas jawapan kedua Anwar berhubung “nak suruh ambil perasuah jaga”, Rafizi berkata, tiada siapa yang suruh ganti Azam dengan perasuah.
Sebaliknya, kata beliau, Anwar dikritik kerana masih berdegil kekalkan Azam walaupun sudah ada banyak persoalan mengenai integriti beliau.
“PMX pusing seolah-olah kalau kita mahu Tan Sri Azam Baki diganti, kita nak letak perasuah. Apa punya konar macam ni,” katanya penuh sinis.
Beliau turut melahirkan kebimbangan jika reaksi Anwar ini satu perlambangan: iaitu hanya orang yang dia percayai, atau dipilih oleh beliau, yang bersih dan bukan perasuah.
Kalau orang itu bukan pilihan Anwar, orang itu automatik jadi perasuah, ujar Rafizi.
“Macam itu baik lantik Nurul Izzah je jadi Ketua Pesuruhjaya SPRM, sebab anak sendiri, confirm tak timbul isu lantik perasuah jaga SPRM,” ujarnya. – MalaysiaGazette

















giliran dia pulak terima kafarah daripada sumpah laknat DSNR. Nanti kita letakan fia berjiran dengan DSNR di Penjara Kajang.