KUANTAN – Seramai 13 kru sebuah kapal tangki dan nakhoda warganegara asing direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes rampasan dadah jenis syabu bernilai RM78.6 juta.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Kamarulzaman di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas permohonan dibuat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang mengikut Seksyen 117 Kanun Tataacara Jenayah (KTJ).
Permohonan reman itu dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesemua warga asing itu merupakan kru kapal tangki ‘Kamal Bangkok’ yang didaftarkan di Thailand, terdiri daripada 10 lelaki Thailand dan tiga lelaki Indonesia berusia antara 33 tahun hingga 68 tahun.
Bagi lima lagi kru kapal kargo Sail Fish 09 didaftarkan di Indonesia yang turut terlibat dalam kes terbabit, tidak dibawa ke mahkamah sebaliknya ditahan di bawah Perintah Penahanan selama 14 hari sebagai Orang Yang Disyaki (OYDS).
Penahanan kru kapal kargo tersebut dilakukan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan kuasa penahanan tanpa had sehingga siasatan kes selesai dibawah akta berkenaan.
Semalam, Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, kedua-dua kapal berkenaan ditahan aset Maritim Malaysia pada hari Rabu kira-kira jam 10.47 pagi dan 10.50 pagi di kedudukan 107 batu nautika timur laut Kuantan, berhampiran sempadan perairan Pahang dan Terengganu.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk rampasan 50,000 liter minyak diesel dianggarkan mencecah RM83.75 juta. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Maritim Pahang rampas 1.572 tan dadah dadah bernilai RM78.6 juta
















