KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan penghargaan kepada seluruh warga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pahang, khususnya kru KM SEBATIK diatas kejayaan menumpaskan kegiatan jenayah maritim yang amat serius di perairan Timur Laut Kuantan.
Operasi Khas yang telah dilaksanakan APMM Pahang menyaksikan kejayaan penahanan dua buah kapal, iaitu Kapal Tangki Kamal Bangkok dan Kapal Kargo Sail Fish 09, berserta rampasan 76 guni dadah disyaki jenis syabu seberat 1.572 tan yang dianggarkan bernilai RM78.6 juta, serta 50,000 liter minyak diesel dan lain-lain barangan kes.
Titah baginda, kejayaan besar itu membuktikan tahap kesiapsiagaan, keberanian dan komitmen tinggi pasukan dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan atas tindakan tegas dan profesional dalam membanteras aktiviti penyeludupan dadah, pelanggaran undang-undang perkapalan serta kesalahan imigresen, selaras dengan peruntukan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan undang-undang berkaitan.
“Sesungguhnya kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan kecekapan operasi dan risikan APMM.
“Kejayaan ini memberi mesej jelas bahawa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman keselamatan, khususnya yang melibatkan dadah yang boleh merosakkan masyarakat dan generasi masa hadapan,” titah baginda dalam kenyataan menerusi Kesultanan Pahang.
Baginda turut berharap agar APMM Negeri Pahang mempertingkat usaha penguatkuasaan dan sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi demi memastikan perairan negeri ini kekal selamat, terkawal dan bebas daripada sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan. – MalaysiaGazette
















