Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki terbuka sepenuhnya untuk disiasat oleh mana-mana jawatan kuasa bebas yang ditubuhkan kerajaan bagi meneliti secara khusus isu berkaitan pemilikan sahamnya.

Menurutnya, beliau tiada apa-apa untuk disembunyikan berhubung perkara tersebut.

Jelasnya, semua pengisytiharan kewangan dan harta telah dibuat selaras dengan peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa serta melalui saluran rasmi yang ditetapkan, sebagaimana diwajibkan ke atas setiap penjawat awam.

“Saya mengalu-alukan sebarang proses yang telus, bebas dan objektif bagi menentukan fakta berasaskan bukti serta mengikut prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pendekatan sedemikian penting bukan sahaja untuk mempertahankan integriti peribadinya, malah bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai sebuah institusi penguatkuasaan.

Azam menegaskan, sebagai seorang penjawat awam dan ketua agensi penguatkuasaan, beliau percaya mana-mana individu yang berhadapan dengan dakwaan sewajarnya bersikap terbuka serta bersedia untuk disiasat secara bebas dan telus.

“Prinsip ini harus terpakai kepada semua tanpa pengecualian. Budaya akauntabiliti tidak boleh bersifat terpilih atau bermusim,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan SPRM sentiasa mengambil maklum setiap laporan dan aduan yang dikemukakan oleh mana-mana pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan akan menilai setiap maklumat berdasarkan undang-undang serta fakta yang diperoleh melalui proses siasatan yang sah.

“Tiada siapa berada di atas undang-undang, dan tiada siapa juga yang harus dihukum melalui persepsi atau naratif media semata-mata,” katanya.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau kekal komited terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang serta akan terus memberikan kerjasama penuh kepada mana-mana mekanisme sah yang ditubuhkan bagi meneliti perkara tersebut.

Beliau yakin kebenaran akan dapat ditegakkan melalui proses yang adil, bebas dan berlandaskan undang-undang. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast