Rumah yang menjadi lokasi pembunuhan seorang wanita hamil di Kampung Makam, Kota Tinggi, hari ini

KOTA TINGGI – Lelaki warga Myanmar yang membunuh isterinya dengan kejam menggunakan lesung batu di rumah sewa mereka di Kampung Makam di sini pagi tadi, dipercayai bermotifkan cemburu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, suspek etnik Rohingya itu kini sudah pun ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini esok untuk direman.

“Permohonan reman selama tujuh hari di hadapan majistret di sini dan kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan 12 kali sebatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kejadian tersebut berlaku pukul 7.42 pagi sebelum orang awam memaklumkan kepada pihak polis penemuan seorang mayat wanita warga asing dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di rumah tersebut.

Susulan itu katanya, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi digerakkan ke lokasi kejadian.

“Pemeriksaan awal polis menemui seorang wanita hamil tujuh bulan terbaring berlumuran darah dengan kecederaan di bahagian kepala dipercayai dihentak dengan objek tumpul,” ujarnya.

Katanya, mangsa yang juga etnik Rohingya disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Kota Tinggi yang hadir di lokasi.

“Susulan itu polis menahan suami mangsa iaitu seorang lelaki warga asing berusia 30-an di lokasi kejadian iaitu rumah sewa pasangan tersebut bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut yang dijalankan Pegawai Forensik D10, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor membawa kepada penemuan lesung batu yang disyaki digunakan suspek sebagai senjata.

Mayat mangsa katanya, dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru untuk bedah siasat dan punca kematian masih dalam siasatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast