Setiausaha Agung Gerakan, Wong Chia Zhen
Wong Chia Zhen

KUALA LUMPUR — Komponen Perikatan Nasional (PN), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mendesak siasatan tatatertib dijalankan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki susulan kontroversi berkaitan pemilikan saham.

Setiausaha Agungnya, Wong Chia Zhen berkata, siasatan itu perlu dijalankan segera kerana ia menyentuh integriti institusi penguatkuasaan utama negara dan tidak boleh dipandang ringan.

“Gerakan memandang serius kontroversi yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki. Isu ini menyentuh asas integriti institusi penguatkuasaan paling penting dalam negara dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, penjelasan perlu diberikan sama ada Azam telah melanggar Pekeliling Pengurusan Tatatertib dan Kelakuan Pegawai Awam 2024 berkaitan had pemilikan saham oleh penjawat awam.

Chia Zhen berkata sebagai ketua agensi pencegahan rasuah, Azam seharusnya mematuhi standard integriti tertinggi kerana sebarang keraguan akan menjejaskan kredibiliti institusi serta keyakinan rakyat.

“Sebarang keraguan terhadap pematuhan peraturan kewangan dan tatakelakuan memberi kesan langsung kepada kredibiliti SPRM serta keyakinan rakyat terhadap usaha memerangi rasuah,” katanya.

Gerakan turut menegaskan Azam tidak boleh dilihat seolah-olah dilindungi tanpa siasatan bebas, kerana keadaan itu boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap kebebasan institusi berkenaan.

“Sebarang kenyataan mempertahankan tanpa siasatan bebas boleh menimbulkan persepsi bahawa SPRM tidak benar-benar bebas, sebaliknya bertindak menurut kepentingan pihak eksekutif.

“Persepsi sedemikian amat berbahaya kerana ia boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap kebebasan dan kemandirian institusi anti-rasuah negara,” katanya.

Menurut Chia Zhen, isu yang melibatkan kepimpinan tertinggi SPRM bukan sekadar persoalan teknikal, sebaliknya menyentuh kebebasan institusi serta kepercayaan awam terhadap sistem pencegahan rasuah negara.

“Dalam isu yang melibatkan kepimpinan tertinggi SPRM, persoalannya bukan sekadar soal teknikal, tetapi soal kebebasan institusi dan kepercayaan awam. Keyakinan terhadap SPRM hanya boleh diperkukuh melalui tindakan tegas, ketelusan penuh dan akauntabiliti yang nyata,” katanya.

Beliau menegaskan parti itu akan terus mendesak supaya prinsip keadilan dilaksanakan tanpa layanan berbeza demi menjaga integriti institusi negara.

“Gerakan akan terus mendesak agar prinsip ‘tiada dua darjat’ ditegakkan demi memastikan institusi negara kekal bebas, berintegriti dan dihormati rakyat,” katanya.

Awal hari ini, Azam berkata dirinya terbuka sepenuhnya untuk disiasat oleh mana-mana jawatan kuasa bebas yang ditubuhkan kerajaan bagi meneliti secara khusus isu berkaitan pemilikan sahamnya.

Menurutnya, beliau tiada apa-apa untuk disembunyikan berhubung perkara tersebut.

Jelasnya, semua pengisytiharan kewangan dan harta telah dibuat selaras dengan peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa serta melalui saluran rasmi yang ditetapkan, sebagaimana diwajibkan ke atas setiap penjawat awam. – MalaysiaGazette

Azam Baki sedia disiasat isu pemilikan saham

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast