Lek Khang selepas mengadakan mesyuarat ahli-ahli Jawatankuasa Bersatu Bersekutu Johor di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Datuk Tan Lek Khang mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor dan Ketua Bersekutu Bersatu Bahagian Labis serta-merta berkuat kuasa hari ini.

Beliau turut mengumumkan keluar daripada Bersatu dan langkah tersebut dibuat susulan penyingkiran Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, daripada parti itu hari ini.

Lek Khang memberitahu, serentak itu juga Sayap Bersekutu Bersatu Johor dibubarkan secara rasmi sebagai tanda bantahan terhadap keputusan berkenaan.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat selepas sebahagian besar Ahli Jawatankuasa (AJK) Negeri Bersekutu Johor mengambil pendirian sama dengan meletakkan jawatan, sekali gus membawa kepada pembubaran sayap bersekutu di peringkat negeri.

“Pembubaran ini dibuat bagi menyatakan rasa tidak puas hati dan kekecewaan kami terhadap keputusan penyingkiran Timbalan Presiden parti,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, antara kepimpinan Bersekutu Bersatu Johor yang turut meletakkan jawatan ialah Naib Pengerusi, Poobalan Ponnusamy (Tebrau); Setiausaha, Yeo Kwee Kwang (Pulai); Setiausaha Kerja, Kevin Wong Chan Giap serta Bendahari, Roland Lim Ching Eng (Johor Bahru).

Turut sama Ketua Penerangan, Khoo Kong Ek (Iskandar Puteri); Biro Aduan Awam, Lim Thow Siang (Tebrau) bersama Naib Ketua, Ang Tun Chek; Biro Antarabangsa, Yap Wen Piau (Pasir Gudang); Biro Pendidikan, Kalai Arasan (Tebrau); Ketua Pemuda, Eugene Lim Yew Chin (Sembrong) dan Ketua Wanita, Joan Ng Geok Yin (Kluang).

Selain itu, AJK Negeri yang terlibat ialah Tong Liang Fook (Segamat), Goh Jun Hao (Kota Tinggi), Gan Guo Qin (Bandar Tenggara) dan Sadra Segaran (Kulai).

Dalam perkembangan sama, Lek Khang memaklumkan bahawa Biro Aduan Awam Bersekutu Johor yang dibubarkan akan dinamakan semula sebagai Pasukan Perkhidmatan Datuk Tan Lek Khang JP.

Katanya, pasukan berkenaan akan terus diterajui oleh Thow Siang dan Tun Chek bagi meneruskan perkhidmatan serta perundingan kepada masyarakat umum.

Sebelum itu, Lembaga Disiplin Bersatu dilaporkan memecat keahlian Hamzah berkuat kuasa hari ini.

Keputusan itu dibuat menerusi persidangan yang berlangsung semalam kerana tindakannya didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast