Tertuduh, Ng Chun Twan, 35, pemandu Perodua Myvi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Padang Jambu, Bukit Baru di sini Selasa lalu.

MELAKA – Pemandu Perodua Myvi yang dipercayai microsleep dan merempuh lima kenderaan menyebabkan seorang maut di Selasa lalu mengaku tidak bersalah hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Tertuduh, Ng Chun Twan, 35, membuat pengakuan tersebut di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah telah memandu kereta secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian Mohd Shahrul Anuar Md Roby, 44 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di persimpangan lampu isyarat Padang Jambu, Lebuh Ayer Keroh, dalam daerah Melaka Tengah, di sini kira-kira jam 1.30 tengah hari 10 Februari 2026.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta denda minimum RM20,000 dan maksimum RM50,000 mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1999).

Sabitan juga boleh menyebabkan hilang kelayakan memegang lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani mencadangkan jaminan RM20,000 dan syarat tambahan lesen memandu diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jaminan rendah kerana tidak berpendapatan tinggi sebagai pekerja dalam bidang logistik.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh jaminan rendah RM6,000, lesen ditahan serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan

Kes akan disebut semula 2 April ini.

Dalam kejadian itu yang tular di media sosial, seorang penunggang motosikal jenis Honda EX5 maut manakala empat lagi termasuk tertuduh cedera selepas Perodua Myvi dipandunya terbabas ke laluan bertentangan.

Mohd Shahrol Anuar, yang juga bapa kepada empat anak disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan untuk mengambil anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pulang dari sekolah.

Nahas pilu itu melibatkan enam kenderaan iaitu tiga motosikal jenis Honda EX5, Suzuki Raider R150 dan Yamaha Y15ZR serta kereta Proton Saga, BMW X3 dan Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati pemandu Perodua Myvi terbabit dipercayai mengalami microsleep (terlelap seketika) sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh kenderaan yang sedang berhenti di persimpangan itu.

Rakaman papan pemuka berdurasi 41 saat sebuah kenderaan lain di belakang Perodua Myvi turut tular di media sosial memaparkan kereta terbabit dipandu secara melulu sebelum merempuh mangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast