Allahyarham Datuk Shamsubahrin Ismail.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan rayuan pendakwa raya untuk mengetepikan pembebasan Pengasas Perkhidmatan Premium Big Blue Taxi, Allahyarham Datuk Shamsubahrin Ismail daripada pertuduhan menipu, tujuh tahun lalu.

Hakim Nurulhuda Nur’ain Mohamad Nor menetapkan demikian selepas pihak pendakwaan menarik balik rayuan terhadapnya.

Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad memaklumkan, pihak pendakwaan bertindak demikian ekoran kematian Shamsubahrin, 60, selaku responden, pada 11 Februari lalu.

“Memandangkan peguam telah memasukkan bukti kematian responden iaitu daftar kematian dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), pihak pendakwaan merasakan tiada kesan jika rayuan diteruskan. Oleh itu, perayu (pendakwa raya) menarik balik rayuan,” kata Anis Wahidah.

Peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim bersama Zulkifli Awang mewakili Shamsubahrin memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya telah meninggal dunia pada 1.32 tengah hari, 11 Februari lalu, akibat kanser kolon.

Pada 7 Jun 2024, Hakim Mahkamah Sesyen Azrul Darus melepas dan membebaskan Shamsubahrin daripada pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Pada 9 Februari 2022, Shamsubahrin mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menipu seorang lelaki yang merupakan pengarah Syarikat Innoseven Sdn Bhd dengan memperdayakan beliau untuk mempercayai bahawa tertuduh akan mendapatkan kontrak kerja-kerja pembersihan di bangunan KLCC untuk syarikat berkenaan.

Ia mendorong lelaki itu menyerahkan cek Maybank berjumlah RM750,000 sebagai imbuhan kepada tertuduh, di sebuah firma guaman di Pantai Dalam, Brickfields di sini, pada 24 Mei 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast