Lilis Saslinda melakukan pemantauan harga selepas majlis pelancaran SHMMP Tahun Baharu Cina 2026 di Pasaraya Econsave, Muar, hari ini.

MUAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor merekodkan nilai rampasan berjumlah RM5.08 juta sepanjang tahun lalu.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, dapatan tersebut adalah hasil pelaksanaan 138,986 pemeriksaan yang dijalankan di seluruh negeri.

Jelasnya, daripada jumlah pemeriksaan tersebut, sebanyak 2,531 kes melibatkan pelbagai kesalahan dihasilkan, sekali gus menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya.

“Jumlah rampasan mencecah RM5,087,398.03 dan pencapaian penghasilan kes sehingga dua kali ganda berbanding 2024 membuktikan komitmen berterusan KPDN Johor dalam memperkukuh penguatkuasaan.

“Momentum kecemerlangan ini akan terus diperkasa serta dipertingkatkan pada tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026 di Pasaraya Econsave, di sini hari ini.

Beliau berkata, sepanjang pelaksanaan empat siri SHMMP pada 2025 iaitu sempena Tahun Baharu Cina, Hari Raya Puasa, Deepavali dan Krismas, sebanyak 1,555 pemeriksaan dilaksanakan di seluruh Johor.

Hasil pemeriksaan itu katanya ,sebanyak 382 kes direkodkan dengan kesalahan gagal mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal dikenal pasti sebagai kesalahan tertinggi.

Sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026 katanya, KPDN melaksanakan SHMMP yang berkuat kuasa mulai 13 hingga 21 Februari 2026 bagi memastikan kestabilan harga barangan keperluan sepanjang musim perayaan.

“Bagi memastikan pematuhan sepanjang pelaksanaan skim berkenaan, semua peniaga diwajibkan mempamerkan barangan harga terkawal dengan tanda harga berwarna merah jambu.

“Ini termasuk tidak menjual melebihi harga maksimum ditetapkan, memastikan bekalan barangan sentiasa mencukupi serta menggunakan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan,” katanya.

Tegasnya, tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan, termasuk kesalahan menjual melebihi harga maksimum dan gagal mempamerkan tanda harga khas.

KPDN Johor tambahnya, akan terus mempergiat operasi pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara, khususnya menjelang musim perayaan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast