KOTA TINGGI – Jiran kepada ibu hamil tujuh bulan yang maut akibat dihentak dengan lesung batu di Kampung Makam di sini pagi tadi, tergamam apabila diberitahu suspekĀ bahawa dia sudah membunuh wanita itu yang juga isterinya.
Atikah Sulaiman, 44, yang juga pemilik rumah disewa pasangan etnik Rohingya berkenaan, pada mulanya seakan tidak percaya dengan apa yang dikatakan.
“Dia (suami mangsa) datang ke rumah pada kira-kira 7 pagi untuk minta tolong simpan barang. Dia datang bersama-sama anak perempuannya berusia empat tahun.
“Kemudiannya suami saya tanya di mana isteri awak? Dia cakap sudah ‘matikan’ isterinya. Terus suami saya gerak ke rumah sewanya dan nampak isterinya terbaring berlumuran darah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
Atikah berkata, suami mangsa kelihatan tenang dan tidak melarikan diri malah meminta suaminya membuat laporan polis.
ARTIKEL BERKAITAN
Menurutnya, semasa kejadian dia tidak dengar bunyi bising pada sebelah malam dan awal pagi, begitu juga jiran lain.
“Sudah empat tahun mereka menyewa di sini dan tiada masalah dengan jiran-jiran. Saya difahamkan suaminya sebelum ini bekerja sebagai tukang gunting rambut,” katanya.
Atikah memberitahu, pasangan suami isteri itu baru kembali semula ke rumah sewa berkenaan dua bulan lalu selepas pulang dari Kuala Lumpur.
“Kali terakhir saya jumpa mangsa pada awal bulan ini. Dia datang untuk bayar sewa rumah. Memang mereka tidak pernah culas bayar sewa rumah.
“Mangsa juga ada beritahu sekarang kerap ulang alik ke klinik untuk pemeriksaan kehamilannya,” ujarnya.
Dalam kejadian pada pukul 7 pagi itu, wanita berkenaan, 34, maut dibunuh suaminya sebelum pihak polis menahan suspek yang berusia 35 tahun di sekitar lokasi kejadian pada pukul 7.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 3 pagi.
Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian mendapati pasukan forensik polis sedang giat sedang melakukan pemeriksaan.
Rumah sewa yang terletak di tingkat dua itu turut diletakkan dengan pita kuning garisan polis, selain terdapat kesan percikan darah di tingkap.- MalaysiaGazette
















