KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur menjangkakan peningkatan dua kali ganda jumlah kenderaan menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 17 Februari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, ketika ini data kemasukkan jumlah kenderaan di ibu kota mencecah kira-kira tiga juta kenderaan berdasarkan analisis semasa aliran trafik harian.
“Kita menjangkakan ia akan bertambah menjelang musim perayaan terutamanya di pusat bandar untuk membeli belah dan itu menjadi cabaran utama untuk kita (polis).
“Terdapat juga kawasan hotspot yang kita kenal pasti untuk lipat gandakan kawalan keselamatan termasuk kawasan tumpuan orang ramai,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Op Selamat 25 Sempena Tahun Baru Cina 2026 Kontinjen Kuala Lumpur, di Pavilon KL, di Bukit Bintang hari ini.
Tambah Fadil, Op Lancar akan dilaksanakan bermula 11 hingga 22 Februari ini bagi memastikan kelancaran trafik dengan menempatkan seramai 400 pegawai dan anggota polis yang akan bertugas sepanjang masa.
“Anggota akan bertugas 24 jam sehari tanpa sebarang jurang bagi memastikan pemantaun trafik dan keselamatan awam berada di tahap terbaik dengan kerjasama pelbagai agensi,” jelasnya.
Beliau menambah, pihaknya juga telah mengenal pasti sebanyak 15 lokasi ‘black spot’ dan 30 lokasi ‘hot spot’ yang berada di bawah pemantauan sepanjang Op Lancar.
“Semua lokasi black spot membabitkan Jalan Kuching, Lebuhraya MRR2, Jalan Tun Razak, Lebuhraya DUKE, Jalan Sungai Besi, Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Klang Lama, Jalan Loke Yew, Jalan Damansara, Jalan Kepong dan Jalan Ampang.
“Selain itu, antara 30 lokasi hot spot adalah di Bulatan Segambut, Bulatan Kepong, Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang, Jalan Yap Kweng Seng, Bulatan Kampung Pandan dan Jalan Istana.
“Turut dikesan melibatkan Jalan Cheras depan Balai Cheras, Jalan Tun Razak/Lebuhraya MEX, Jalan Cheras/Jalan Shamelin dan Jalan Klang Lama/Jalan Syed Putra,” jelasnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan. – MalaysiaGazette















