Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim (tengah), Pengarah JPJ Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman (berdiri) Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim memeriksa tahap fizikal sebuah bas ketika Program Advokasi sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2026 di Terminal Sentral Kuantan (TSK) malam tadi.

KUANTAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang telah memeriksa sebanyak 1,448 kenderaan perkhidmatan awam sepanjang tahun lepas dan 65 daripada jumlah tersebut telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, sebanyak 454 notis saman JPJ turut dikeluarkan dalam tempoh sama.

“Sebanyak 138 ujian saringan urin turut dilaksanakan terhadap pemandu kenderaan perkhidmatan awam terlibat dan dua peratus atau tiga kes dikesan positif bahan terlarang,” katanya dalam kenyataan sempena Program Advokasi sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2026 di Terminal Sentral Kuantan (TSK) malam tadi.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim (tengah) ketika Program Advokasi sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2026 di Terminal Sentral Kuantan (TSK) malam tadi.

Beliau menegaskan,  pemandu bas memikul tanggungjawab  besar kerana membawa nyawa ramai penumpang, maka keadaan fizikal pemandu serta kenderaan merupakan elemen kritikal yang perlu dalam keadaan baik dalam memastikan perjalanan yang selamat.

Razali turut menyeru, semua penumpang bas melaporkan segera kepada pihak berkuasa melalui saluran yang disediakan sekiranya mendapati pemandu bas memandu dalam keadaan yang berbahaya termasuk melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan kelihatan tidak cergas.

Menerusi program advokasi yang dijalankan malan tadi, JPJ Pahang memaklumkan sebuah syarikat bas ekspres telah dikesan menggunakan bas ganti yang tidak mempunyai Lesen Perubahan Sementara (LPS) yang sah kerana bas asal didakwa mengalami kerosakan.

Bas ganti tersebut merupakan bas persiaran dan dijadualkan membawa penumpang dari TSK ke Kota Bharu.

“Anggota JPJ Pahang tidak membenarkan bas tersebut meneruskan perjalanan dengan membawa penumpang sehingga pihak syarikat bas ekspres menggantikan kenderaan berkenaan dengan bas ekspres lain bagi mengelakkan sebarang permasalahan,” katanya dalam kenyataan.

Bas ekspres yang sepatutnya bertolak pada jam 8 malam itu hanya bergerak pada jam 9.30 malam selepas pihak syarikat menyediakan bas ekspres lain sebagai pengganti untuk membawa penumpang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast