SHAH ALAM – Pemantauan pematuhan pemasangan dan fungsi Speed Limitation Device (SLD) menjadi fokus Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor pada bas persiaran dan ekspres sepanjang Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2026.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata ia bagi memastikan kenderaan perdagangan yang beroperasi mematuhi had kelajuan serta piawaian keselamatan yang ditetapkan.
Dalam masa yang sama katanya, JPJ Selangor akan memantau pematuhan pengusaha dan pemandu bas penggunaan tali pinggang keledar sepanjang perjalanan dalam kalangan penumpang.
“Ini bukan sahaja mematuhi undang-undang tetapi juga mengurangkan risiko kecederaan serius sekiranya berlaku kemalangan,” katanya Ketika sidang media di Peancaran Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2026 di Terminal Bas Seksyen 17.
Menurutnya, bagi kesalahan di bawah Kaedah 4 & 4A Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 (pindaan 2008), iaitu tidak memakai tali pinggang keledar, kadar kompan adalah RM300.
Operasi berkenaan dilaksanakan bermula semalam hingga 22 Febuari.
Tambahnya, pengusaha bas awam juga diwajibkan menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer untuk mengelakkan keletihan dan memastikan perjalanan lebih
terkawal.
JPJ juga menegaskan semua pemandu perlu mematuhi disiplin pemanduan di lebuh raya, termasuk menggunakan lorong kanan hanya untuk memotong serta mematuhi had laju yang ditetapkan bagi mengurangkan risiko kemalangan.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, sebanyak 11,575 bas ekspress dan 1,909 bas persiaran diperiksa pada tahun lalu.
Daripada jumlah itu 177 bas ekspress dan 100 bas persiaran dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.
Sebanyak 458 notis saman dikeluarkan termasuk 112 notis arah periksa; 140 notis larangan penggunaan kenderaan dan dua notis daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat. – MalaysiaGazette
















